arena

Rayzam fokus bidang jurulatih

Oleh Devinder Singh

SELEPAS memenuhi impiannya mempertahankan pingat emas menerusi acara 110 meter lari berpagar di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), Ogos lalu, Rayzam Shah Wan Sofian kini menumpukan kepada perkara yang ingin dilakukannya selepas ini.

Ketika dia masih aktif sebagai atlet negara, Rayzam memulakan langkah untuk persiapan apabila bersara nanti dengan kemungkinan besar beralih ke bidang kejurulatihan.

Semalam, Rayzam adalah antara 23 peserta yang berjaya melepasi kursus sijil kejurulatihan tahap satu IAAF di Kota Kinabalu.

Kursus selama 12 hari itu memerlukan peserta untuk menunjukkan pengetahuan secara praktikal dan teori berkenaan aspek kejurulatihan.

Bagaimanapun, Rayzam berkata, dia belum bercadang untuk bersara dalam tempoh terdekat.

“Saya tidak fikir bersara lagi kerana saya mahu terus beraksi sekurang-kurangnya tiga tahun lagi,” kata Rayzam yang akan menamatkan tahun ini dengan menduduki ranking ke-108 dalam senarai pelari 110m IAAF.

“Banyak kejohanan yang besar akan berlangsung tahun depan serta 2019. Saya mengambil kursus ini hanya untuk persediaan apabila bersara nanti,” katanya.

Rayzam, 29, berharap terpilih untuk beraksi ke Sukan Komanwel di Gold Coast, April depan selepas menamatkan kempen tahun ini dengan mempertahankan pingat emas acara 110m lari berpagar di KL2017.

Atlet kelahiran Sabah itu turut memadamkan rekod kebangsaan 13.73s milik Nurherman Majid yang dilakukan pada 1994 dengan catatan baru 13.67s di Jerman, Mei lalu.

“Nama saya berada dalam senarai atlet untuk ke Sukan Komanwel tetapi saya tak pasti sama ia adalah senarai muktamad,” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 11:48pm
d