arena

MU eksperimen NS

Oleh Nazri Abu Bakar

SKUAD impian Liga Super Melaka United (MU) bakal menguji pasukan Negeri Sembilan pada aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput Ahad ini.

Saingan yang menjanjikan aksi terbaik itu adalah antara persiapan rapi buat skuad bimbingan jurulatih Eduardo Almeida menghadapi Liga Malaysia dalam misi meraih salah satu piala musim depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United ( MUSA), Noor Azman Rahman berkata, perlawanan berkenaan antara pendekatan positif bagi mengenal pasti keupayaan pemain Hang Tuah yang mula menjalani latihan sejak dua hari lalu sebelum bertemu skuad yang baharu dinaikkan ke Liga Super terbabit.

Katanya, walaupun sekadar aksi persahabatan, namun ia amat penting sebagai gambaran awal keserasian dan keupayaan pemain yang disenaraikan kali ini.

Menurutnya, perlawanan berkenaan juga mampu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan yang ada bagi memastikan skuad Hijau Putih benar-benar bersedia sebelum Liga Malaysia bermula Februari 2018 kelak.

“Perlawanan ini juga antara pentas terbaik menguji dua import baharu dari Portugal dan Perancis yang mengisi posisi pertahanan dan tengah.

“Apa yang penting perlawanan terbabit antara ujian getir buat kesemua pemain untuk menampilkan karakter sebenar mereka yang bakal dipertanggungjawabkan sama ada sebagai pilihan pertama atau kedua.

“Walaupun terlalu awal menentukan kesebelasan pilihan, namun sekurang- kurangnya ia memberi kesempatan kepada semua pemain untuk membuktikan pemilihan mereka amat berbaloi buat pasukan,”katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru peminat bolasepak MU hadir menyaksikan perlawanan berkenaan sekali gus menilai skuad baharu yang dijangka menampilkan sentuhan lebih berbisa musim depan.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 12:01am
d