arena

AWP lakar sejarah baru

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Pasukan Anak Warisan Pendang (AWP) muncul wira baru dalam Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Datuk Seri Jamil Khir Baharom 2017 yang berlangsung di Stadium Guar Chempedak, baru-baru ini.

Kegembiraan selepas muncul juara buat kali pertama disuarakan pengurus pasukan Anak Warisan Pendang, Mohd Al Faizal Saleh yang bangga dengan kegigihan dan pencapaian anak buahnya.

“Ini kejayaan sulung kami selepas gagal ke pentas separuh akhir selama dua tahun berturut-turut dan saya rasa mungkin rezeki kami tiba pada tahun ini.. Syukur Alhamdulillah,” katanya.

Pada kejohanan kali ini, AWP berjaya melepasi peringkat separuh akhir apabila menewaskan pasukan Anjung Budi dengan keputusan 1-0 dan muncul juara menerusi penentuan penalti 5-4 ke atas Suria Muda selepas kedua dua pasukan terikat 0-0 sepanjang masa sebenar permainan.

Sebagai juara, AWP membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta piala dan pingat.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Saiful Hazizi Zainal Abidin yang mewakili Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

“Tiada rahsia yang tersembunyi bagi pasukan kami selain latihan yang gigih dan keazaman tinggi untuk memajukan diri masing masing.

“Pemain kami yang rata-rata berada di bawah usia 22 tahun ini bermain atas keikhlasan diri dan mahu buktikan mereka layak menyarung jersi mewakili negeri Kedah satu hari nanti.

“Selain dari pasukan yang bertanding ini (16-23 tahun) kami juga mempunyai dua lagi pasukan peringkat umur bermula dari 7-12 tahun dan 15 tahun ke bawah.

“Perancangan masa depan kami adalah untuk terus melahirkan bakat-bakat muda ke peringkat negeri selepas beberapa pemain sebelum ini menyarung jersi pasukan Piala Belia dan Piala Presiden Kedah.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 8:50am
d