arena

Hamsani kembali ke pangkuan Perak

Oleh Azizan Hashim

BEKAS penjaga gol kebangsaan Hamsani Ahmad akan membantu persiapan Perak bagi menghadapi kempen Liga Malaysia 2018 apabila dilantik sebagai jurulatih penjaga gol pasukan The Bos Gaurus.

Hamsani bukan asing lagi bagi peminat Perak kerana pernah menyarung jersi Kejor Yob Kejor dari 2001 hingga 2008.

Bekas pemain dari Negeri Sembilan itu kali terakhir mewakili Selangor pada 2015.

Pengumuman pelantikan Hamsani bagi menggantikan Talib Saidi itu dibuat oleh Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, semalam ketika mengumumkan nama pemain serta pegawai pasukan Perak.

Seramai 14 pemain musin lalu termasuk dua import Leandro Dos Santos Oliveira dan Gilmar Jose Da Silva Filho adalah antara 22 pemain disenaraikan.

Perak mengekalkan Mehmet Durakovic sebagai ketua jurulatih tetapi tidak penolongnya Chong Yee Fatt.

Sebaliknya jawatan penolong jurulatih dikosongkan hingga mendapat calon sesuai.

Setiausaha PAFA, Ahmad Shahrul Azhar Soffian kekal sebagai pengurus pasukan manakala Naib Presiden I serta Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim selaku penolong pengurus.

Puhat berkata, Perak akan memulakan latihan petang ini bagi membuat persiapan menghadapi Liga M bermula Februari 2018.

“Sasaran kami adalah tiga teratas dalam Liga serta satu piala tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, pasukan itu mungkin beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung atau Stadium TLDM, Lumut berikutan kerja naik taraf dan pembinaan trek Stadium Perak hanya dijangka siap Mac atau April depan.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 11:21am
d