arena

MSN sedia bincang ISN isu kafeteria

Oleh Mohd Khairie Khalid

MAJLIS Sukan Negara (MSN) sedia berbincang dengan Institut Sukan Negara (ISN) mengenai hasrat mengambil alih pengurusan kafeteria atlet.

“Insya-Allah, kita akan bincang nanti,” kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi secara ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, media melaporkan bahawa ISN bersedia mengambil alih pengurusan kafeteria atlet daripada MSN kerana badan itu memiliki kepakaran dalam memastikan diet dan pemakanan atlet terjaga.

Kesediaan itu disuarakan Pengerusi ISN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi sambil menyifatkan hasrat berkenaan memerlukan perbincangan agar menemui penyelesaian terbaik.

Jelasnya, disebabkan makanan atau diet dirancang adalah di bawah naungan ISN, adalah lebih baik jika kafe atlet diletakkan di bawah kendalian institut berkenaan.

Ini kerana ISN turut memainkan peranan terhadap atlet termasuklah dari sudut fizikal, biomekanik dan fisio.

Sebagai rekod, kafeteria atlet berada di bawah seliaan MSN sejak 1996 apabila berpindah ke Bukit Jalil dari Stadium Negara.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 8:59pm
d