arena

'Laksamana' Cheng Hoe nakhoda Harimau Malaya

Oleh Syafiq Aznan

TIDAK sampai sehari Nelo Vingada mengucapkan selamat tinggal kepada skuad kebangsaan, tempatnya yang dikosongkan itu kini digantikan dengan pembantu jurulatihnya, Tan Cheng Hoe.

Pelantikan bekas pengendali Kedah itu diumumkan secara rasmi oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi laman Facebook persatuan itu, sebentar tadi.

“Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Tan Cheng Hoe atas pelantikan beliau menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya yang baharu,” kata Hamidin.

Jodoh Vingada yang terkenal dengan julukan ‘The Professor’ bersama Harimau Malaya hanya bertahan enam bulan, enam hari apabila jurulatih dari Portugal itu mengambil keputusan melepaskan jawatan disandangnya berkuat kuasa serta-merta, semalam.

Bekas pengendali skuad kebangsaan Jordan itu berkata, keputusan terbabit dibuat atas dasar tanggungjawab selepas gagal membantu Harimau Malaya meraih sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan kendaliannya.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saya dengan ini bertanggungjawab di atas prestasi pasukan kebangsaan.

“Atas rasa tanggungjawab dengan apa yang berlaku, saya mengumumkan melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan berkuat kuasa serta-merta dan presiden sendiri turut menerima keputusan ini,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 9:08pm
d