arena

Tiada tekanan

Oleh Farah Azharie

Kuala Lumpur: Pemain golf amatur negara, Adam Arif Madzri mengekalkan ketenangan sebelum mengecewakan penyandang juara, Zubair Firdaus untuk memenangi Kejuaraan Golf Antarabangsa Junior AmBank SportExcel ke-12, semalam.

Pemain berusia 16 tahun itu menjuarai gelaran bagi kategori lelaki 15 ke 18 tahun dengan kelebihan dua pukulan selepas melakukan 76-70-70 untuk keseluruhan 216 di lapangan Glenmarie Golf & Country Club.

“Dia (Zubair) bermain dengan baik sebelum prestasinya menurun. Saya fikir ia di sebabkan tekanan dihadapinya,” kata Arif mengenai Zubair yang menamatkan saingan 218 diikuti Rhaatikanesh Kanavatgu dan Sheikh Abd Razak Sheikh Rawof berkongsi tangga ketiga dengan 219.

“Kejohanan saya selepas ini adalah 100Plus International yang berlangsung di kelab golf ini.”

Sementara itu, pemain Thailand Jenny Ham menjuarai kategori perempuan dengan kelebihan dua pukulan selepas mengatasi pendahulu hari terakhir dari Malaysia, Liyana Durisic dengan catatan 71-74-75 untuk keseluruhan 220.

“Saya bersyukur dengan kemenangan yang diraih pada hari ini dan saya mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan AmBank dan kepada penaja lain kerana menganjurkan kejohanan yang amat menakjubkan ini.

“Ia cukup sukar dan mencabar dan banyak yang saya belajar sepanjang kejohanan,” kata Jenny.

Jenny menerima biasiswa selama setahun daripada Akademi Golf Hills di Gold Coast, Australia yang dianggarkan bernilai AUD 45,000 (RM150,000).

Pemain terbaik daripada kategori Blue Tee (Lelaki berumur 13-14 dan 15-18 tahun) juga menjadi miliki Adam Arif, manakala White Tee (Perempuan 13-14 dan 5-18 tahun) dimenangi oleh Jenny.

Pasukan terbaik pula dimenangi pasukan Malaysia B menerusi gandingan Adam Arif dan Liyana Durisic di mana mereka membawa pulang trofi Tunku Imran.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi SportExcel, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar dan Ketua Kumpulan Pemasaran dan Komunikasi Korporat Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 8:59am
d