arena

VAR akan digunakan dalam Piala FA

Oleh AFP

LONDON: Video bantuan pengadil (VAR) akan digunakan buat kali pertama dalam kancah bola sepak Inggeris khususnya Piala FA musim ini, menurut Persatuan Bolasepak (FA) England.

Aksi pusingan ketiga antara Brighton dan Crystal Palace pada 8 Januari ini dipilih bagi percubaan sulung menggunakan teknologi itu yang kemudiannya akan digunakan dalam aksi terpilih sepanjang pertandingan.

Penggunaan VAR setakat ini sudah digunakan di dua negara iaitu Itali dan Jerman, malah sebelum ini ia turut digunakan buat julung kalinya dalam aksi persahabatan antara England dan Jerman bulan lalu.

“FA sentiasa terbuka untuk menguji sebarang inovasi dan teknologi baharu terutamanya dalam memperbaiki dan mengesan jaringan gol di atas garisan serta sedia memperkenalkannya,” kata pengarah hubungan profesional FA, Andy Ambler.

Percubaan itu juga turut membabitkan dua perlawanan besar seperti separuh akhir Piala Liga bulan depan.

Musim lalu, Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa meluluskan sistem penggunaan VAR yang akan diuji selama dua tahun.

FA menjelaskan teknologi itu hanya akan digunakan untuk mengatasi insiden tertentu dalam tiga situasi: gol di atas garisan, keputusan pemberian penalti dan kekasaran yang mengakibatkan layangan kad merah atau kuning kepada pemain.

VAR secara automatik akan menyemak setiap insiden berkaitan dan akan membantu pengadil dalam membuat sesuatu keputusan secara lebih tepat.

Pengadil kemudiannya mempunyai kuasa untuk mengubah keputusan asal berdasarkan maklumat yang disediakan oleh VAR atau menonton semula ulang tayang insiden di tepi padang.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 9:55am
d