arena

Davidse pendahulu pusingan pertama

Oleh Reuters

JOHANNESBURG: Pemain kurang ternama Afrika Selatan, Keenan Davidse (gambar) mengatasi kesakitan dan bermalam di hospital sebelum mencatat 63 sekali gus mendahului satu pukulan selepas pusingan pertama Terbuka Joburg dalam Jelajah Eropah di Randpark Golf Club, awal pagi tadi.

Davidse menghabiskan empat hari di hospital kerana selesema sesudah terlepas ‘cut’ di Mauritius minggu lalu, namun mencatat sembilan birdie dan satu bogey untuk mendahului satu pukulan di depan kelompok enam pemain termasuk pemain England, James Morrison dan Matthew Baldwin.

Empat pemain lagi berkongsi tangga kelapan dengan enam bawah par pada hari yang menyaksikan banyak catatan bagus di lapangan Firethorn dan Bushwillow.

“Jelas saya amat gembira. Saya bekerja keras. Saya pergi ke Mauritius minggu lalu dan tidak bermain dengan baik. Saya berada di hospital selama kira-kira empat hari, jadi saya amat terharu hari ini,” kata Davidse.

“Saya tidak terlalu mengharap minggu ini. Saya hanya keluar ke sana untuk berseronok. Sesetengah pemain menyatakan lapangan golf ini (Bushwillow) mudah, tapi anda masih perlu memukul bola.

“Ia ujian yang bagus, anda masih perlu memukul ke kawasan yang tepat dan melakukan putt.”

Terbuka Joburg adalah kejohanan terakhir dalam kalendar Jelajah Eropah tahun ini dan diiktiraf bersama Jelajah Asia dan Jelajah Sunshine Afrika Selatan.

Pencapaian terbaik Davidse dalam Jelajah Eropah adalah pada kejohanan ini 10 bulan lalu apabila dia berkongsi tangga ketujuh.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 10:34am
d