arena

Silva harapan Urawa

Oleh AFP

TOKYO: Ketika kelab Jepun, Urawa Red Diamonds menyasarkan untuk berdepan pasukan seperti Real Madrid pada Piala Kelab Dunia, mereka sekali lagi bergantung harap kepada penyerang berbisa dari Brazil, Rafael Silva.

Warga Sao Paulo berusia 25 tahun itu meledak gol kemenangan menakjubkan pada minit terakhir bulan lalu menentang Al-Hilal untuk membantu kelab Liga-J itu merangkul trofi Liga Juara-Juara Asia kali kedua.

Dia turut menjaringkan gol penting di tempat lawan pada aksi pertama di ibu negara Arab Saudi, selepas mengejutkan pasukan dipenuhi bintang Shanghai SIPG dengan gol awal pada separuh akhir ketika Urawa menamatkan kekecewaan kelab Jepun dalam pertandingan utama kelab Asia itu.

Penyerang yang tidak menentu prestasinya itu dilihat menyimpan yang terbaik bagi Liga Juara-Juara Asia, meraih sembilan gol dalam 10 perlawanan.

Silva kurang prolifik dalam Liga-J, hanya menyumbat 12 gol dalam 25 perlawanan buat kelab Saitama itu, yang berakhir di tangga ketujuh.

Namun jaringannya jelas penting membantu Urawa menyerlah di peringkat Asia - membayangi beberapa rakan senegara yang beraksi di Asia termasuk pemain Shanghai, Hulk dan Oscar.

Dia berkongsi tangga kedua dalam senarai penjaring terbanyak pertandingan itu tahun ini - di samping Hulk dan di belakang bintang Syria, Omar Kharbin.

“Silva pemain utama buat Urawa Reds,” tegas bekas pemain Reds, Sergio Escudero dari Argentina.

Pemain itu kini dilihat berada di puncak prestasinya dan Urawa mahu penampilan mereka bukan sekadar pencukup bilangan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Urawa berdepan wakil tuan rumah dan juara UAE, Al-Jazira pada suku akhir esok, dengan Cristiano Ronaldo dan Real Madrid menanti mereka Rabu depan sekiranya layak ke separuh akhir.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 11:20am
d