arena

Harap kejayaan bakar semangat pemain

Oleh AFP

LONDON: Mauricio Pochettino berharap kejayaan Tottenham Hotspur muncul juara kumpulan Liga Juara-Juara menjadi pembakar semangat untuk mereka bersaing dalam Liga Perdana Inggeris, musim ini.

Kemenangan 3-0 ke atas Apoel Nicosia, awal pagi semalam memastikan anak buah Pochettino menamatkan saingan kumpulan dengan kelebihan tiga mata di depan Real Madrid.

Namun, usaha mereka untuk memperbaiki persembahan bagi perebutan gelaran liga domestik sejak dua musim lalu menerima tamparan hebat dan Spurs yang akan melayan kunjungan Stoke City, malam esok turun dengan misi memburu kemenangan pertama dalam lima perlawanan liga.

Keputusan seri dengan Watford minggu lalu hadir selepas kekalahan di tangan Leicester City manakala anak buah Pochettino masih bergelut untuk membuatkan Wembley seperti rumah mereka sendiri.

Spurs kini menghuni tangga keenam liga, 18 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City dengan fokus mereka kini adalah merapatkan jurang empat mata untuk kedudukan keempat.

Dele Alli yang bergelut untuk mencapai prestasi terbaiknya seperti musim lalu dilihat antara satu faktor aksi tidak konsisten Spurs musim ini.

Pemain tengah itu berharap momentum yang mereka bina dalam saingan di pentas Eropah dapat dikekalkan untuk aksi di peringkat domestik.

“Kami pasukan yang amat yakin dan kecewa apabila kami tidak memenangi perlawanan. Ia penting sebagai satu pasukan kami kekal bersama,” kata Alli.

Fernando Llorente tidak mensia-siakan peluang apabila diturunkan dalam kesebelasan utama dengan dia meledak gol pertama buat Spurs sejak dibawa masuk dari Swansea City, Ogos lalu.

Walaupun pemain veteran berusia 32 tahun itu sedar dia terpaksa memberi laluan kepada Harry Kane hujung minggu ini dan kembali memanaskan bangku simpanan, dia berharap kerjayanya akan kembali bersinar bersama kelab utara London itu.

“Saya perlukannya (gol itu) untuk meningkatkan keyakinan saya. Saya bekerja keras untuk memberikan aksi terbaik.

“Ia sedikit sukar kerana dalam perlawanan terakhir liga, saya ada peluang yang cerah. Saya tidak bernasib baik.

“Ia detik sukar untuk saya sekarang kerana saya perlu menjaringkan gol untuk meningkatkan keyakinan,” katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 3:38pm
d