arena

PSG tanpa khidmat Neymar

Oleh AFP

PARIS: Paris Saint-Germain akan kehilangan khidmat Neymar ketika kelab itu turun dengan misi untuk menamatkan minggu terburuk mereka musim ini menerusi kemenangan ke atas Lille dalam saingan Ligue 1, esok.

Pemain termahal dunia itu digantung untuk aksi di Parc des Princes yang mana hanya kemenangan mampu memulihkan reputasi mereka.

PSG berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini sebelum tewas 1-2 di tangan Strasbourg, minggu lalu diikuti kekalahan kepada Bayern Munich 1-3.

Keputusan itu bagaimanapun tidak memberi kesan besar kepada PSG yang ketika ini mendahului carta Ligue 1 dengan kelebihan sembilan mata dan tetap muncul juara kumpulan Liga Juara-Juara mengatasi Bayern.

Namun ia kali pertama PSG tewas berturut-turut dalam tempoh tiga tahun dan prestasi ketika menentang Bayern mengundang rasa kurang senang presiden kelab, Nasser Al Khelaifi.

“Kami tidak beraksi pada tahap terbaik. Saya sangat kecewa dengan keputusan, kualiti permainan kami terutama pada babak pertama.

“Saya optimis pada masa akan datang tapi kami tidak beraksi baik dalam perlawanan ini. Ia pengajaran untuk semua,” kata Al Khelaifi.

Akhbar harian sukan, L’Equipe melaporkan PSG mungkin mempertimbangkan untuk memecat jurulatih, Unai Emery dalam masa terdekat ini dengan Massimiliano Allegri, Antonio Conte dan Diego Simeone antara calon berpotensi untuk mengambil alih tugasnya.

PSG juga akan turun tanpa kelibat Thiago Motta dan Thiago Silva selepas masing-masing mengalami kecederaan.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 3:46pm
d