arena

Enam pasukan berentap MHL

Oleh Saiful Affendy Sapran

HANYA enam pasukan bakal beraksi dalam saingan Liga Premier, Liga Hoki Malaysia (MHL) musim depan.

Bakal bermula 3 Januari ini, enam pasukan yang sudah mengesahkan penyertaan selepas tarikh tutup pendaftaran pasukan tamat hari ini ialah juara liga, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), TNB Thunderbolt, Maybank dan Terengganu Hockey Team (THT).

Bagaimanapun, empat pasukan iaitu Nur Insafi, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Thunderbolt dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang layak beraksi dalam kancah elit itu, menarik diri.

Pengurus Pertandingan MHL, Brian Fernandez, berkata saingan musim depan tetap kompetitif meskipun dengan hanya penyertaan enam pasukan terbabit.

“Saya difahamkan kebanyakan pasukan menarik diri atas beberapa faktor termasuk kewangan. Apapun, saya percaya saingan liga tetap hebat terutamanya membabitkan saingan antara THT dan KLHC.

“Pasukan seperti Maybank dan UniKL juga berjaya mendapatkan pemain import berkualiti sekali gus menjadikan saingan liga lebih hebat,” katanya.

Saingan MHL 2018 akan bermula dengan perebutan gelaran Piala Tan Sri P Alagendra pada 3 hingga 7 Januari ini sebelum aksi Piala Sumbangsih sekali gus pembuka tirai liga pada 10 Januari dan bakal berakhir pada 10 Februari.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 9:55pm
d