arena

'Saya tak sangka'

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Sukan Komanwel dan Asia tahun depan akan menjadi fokus perenang sensasi negara, Welson Sim selepas menamatkan musim gemilang tahun ini apabila meraih dua pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), Ogos lalu dengan salah satunya memperbaharui rekod kejohanan.

Welson yang dinobatkan selaku pemenang Anugerah Olimpian Lelaki 2017 yang dianjurkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kelmarin berkata, ketika ini dia sedang dalam fasa menyambung semula sesi latihan.

Sukan Komanwel akan berlangsung di Gold Coast, Australia April depan sementara Sukan Asia di Jakarta-Palembang pada Ogos.

“Ada beberapa kejohanan yang akan saya sertai bermula Januari depan. Tetapi saya akui fokus utama untuk layak beraksi di Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

“Sekarang saya dalam proses pemulihan semula selepas Sukan SEA. Sesi latihan untuk persediaan tahun depan sudah bersambung semula dan saya akan sertai kejohanan pertama di Perth pada Januari,” katanya.

Ditanya sasarannya pada kedua-dua temasya itu, Welson berkata, dia belum menetapkan sebarang sasaran.

Mengulas pengiktirafan yang diberikan kepadanya itu, Welson mengakui terkejut apabila diumum sebagai pemenang anugerah itu.

“Ini adalah anugerah yang paling terbesar dan tidak akan saya lupakan sepanjang hidup saya.

“Saya memang terkejut selepas menerima panggilan daripada MOM yang menyatakan saya dipilih memenangi anugerah ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 9, 2017 @ 1:08am
d