arena

Gunners sedia bedil Soton

Oleh AFP

LONDON: Arsene Wenger menegaskan Arsenal akan mengetepikan masalah mereka dan mempamerkan prestasi sebenar apabila berdepan Southampton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) esok.

Skuad kendalian Wenger sebelum ini dibelenggu kritikan pedas selepas tumbang 3-1 di tangan Manchester United hujung minggu lalu biarpun mereka jelas mendominasi saingan dengan menghasilkan 33 percubaan tepat ke arah gawang pelawat.

Susulan kekalahan itu, Wenger melakukan rombakan besar ketika melayan kunjungan Bate Borisov dalam saingan Liga Europa apabila membelasah kelab Belarus itu 6-0 sekali gus bangkit daripada kekecewaan tewas kepada United.

Wenger mengakui terkejut dengan respon pantas anak buahnya yang kembali bangkit daripada kekecewaan itu dengan harapan mampu mempamerkan kualiti sama ketika beraksi di Stadium St Mary nanti.

“Ia berbalik kepada mentaliti dan sikap pemain. Harus saya akui semangat pemain cukup menakjubkan biarpun kami tumbang dalam perlawanan yang dikuasai oleh kami dari awal hingga tamat,” kata Wenger.

“Begitupun, fokus pemain langsung tidak terganggu dengan mereka terus berkerja keras setiap hari.

“Itulah kualiti yang diperlukan sehingga akhir musim ini kerana kami bermain di EPL di mana anda perlu fokus dalam setiap perlawanan.”

Mengulas pertemuan dengan Southampton, Wenger mengingatkan pemainnya agar berhati-hati kerana rangkaian penyerang tuan rumah amat merbahaya.

“Mereka mempunyai penyerang baharu, Charlie Austin. Malah, kehadiran beberapa pemain lain seperti Dusan Tadic, Nathan Redmond dan Sofiane Boufal juga perlu diberi perhatian.

“Kebimbangan itu boleh dilihat kepada 15 jumlah gol yang mampu mereka hasilkan setakat ini, ia jelas menunjukkan betapa jentera serangan mereka cukup ampuh dan boleh mendatangkan bahaya kepada kami,” katanya.

Ketika ini, Southampton menghuni tangga ke-11 liga dengan mengumpul 17 mata, manakala The Gunners berada di kedudukan kelima dengan mengumpul 28 mata daripada 15 aksi yang ditempuh kesemua pasukan di EPL setakat ini.

Disiarkan pada: December 9, 2017 @ 1:54pm
d