arena

Citizens, United buat perhitungan

Oleh AFP

LONDON: Tumpuan bola sepak dunia pastinya terarah ke timur laut England bagi pertembungan tetangga antara Manchester United dan Manchester City untuk aksi pertengahan musim Liga Perdana Inggeris, esok.

Pendahulu liga City sedang memburu kemenangan ke-14 berturut-turut - yang bakal menyamai rekod sepanjang zaman dalam liga utama Inggeris - seterusnya menjadikan jurang di antara penghuni tangga kedua, United kepada 11 mata sekiranya mampu mencatat kemenangan di Old Trafford.

Namun United juga sedang berada di landasan mencipta rekod tersendiri untuk mencatat perlawanan ke-41 tanpa kalah dan pengurus City, Pep Guardiola jelas berwaspada terhadap kemampuan seteru lamanya, Mourinho.

“Sehingga sekarang, kami tidak boleh merungut mengenai keputusan, terutamanya corak permainan kami,” kata Guardiola, yang menjadi pengurus pasukan pelawat terakhir yang pernah meraih kemenangan di Old Trafford, September tahun lalu.

“Apabila kamu melihat statistik dalam setiap perlawanan - bukan hanya di laman lawan - kami lebih baik daripada sudut potensi jaringan, kedudukan dan peluang.

“Namun, saya fikir United juga amat hebat daripada sudut itu. Apabila statistik bagus, mereka meraih kemenangan dan apabila sebaliknya, mereka juga mampu meraih kemenangan 3-1 (menentang Arsenal) di Emirates, salah sebuah stadium yang sukar.

“Mereka (Arsenal) melakukan 33 rembatan dan United menang 3-1. Tidak banyak pasukan di dunia ini yang mampu melakukannya. Sebab itulah kamu perlu berhati-hati. Kamu boleh kawal, kamu boleh melakukan banyak perkara yang bagus tetapi kemudiannya mereka mempunyai bakat terbaik yang mampu melakukannya.”

Biarpun mempamerkan aksi cemerlang sejak awal musim lalu, City bagaimanapun dilihat perlu berusaha gigih dalam usaha mencari kemenangan sejak kebelakangan ini.

Dalam tiga kemenangan liga baru-baru ini bermula dengan kemenangan 2-1 di laman Hundersfield Town dan di laman sendiri menentang Southampton dan West Ham United - mereka dilihat harus menunggu sehingga minit ke-83 untuk meledak gol kemenangan.

Mereka kemudiannya tewas di tangan Shakhtar Donetsk dalam aksi Liga Juara-Juara baru-baru ini seterusnya memusnahkan rekod tanpa kalah ke-20 berturut-turut kelab berkenaan.

United pula melakukan sebaliknya, apabila mereka meraih kemenangan dalam empat perlawanan dengan momentum ketika menewaskan Arsenal 3-1 minggu lalu berlanjutan apabila meraih kemenangan ke atas CSKA Moscow 2-1 untuk mengikut jejak City melangkah ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara.

Disiarkan pada: December 9, 2017 @ 2:24pm
d