arena

Shahzan Muda intai slot Liga Perdana

Oleh Asrol Awang

SHAHZAN Muda menyasarkan slot Liga Perdana musim 2019 sebaik memulakan kempen saingan Liga Malaysia musim depan.

Musim ini, skuad The Dolphin itu hampir melakukannya tetapi terkandas di saingan separuh akhir Liga FAM selepas tewas kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC.

Justeru, pengurus pasukan, Wan Kamarul Nahar Wan Mustaffa berkata, pengurusan menuntut setiap pemain memberi komitmen tinggi bagi mencapai misi berkenaan.

Katanya, setakat ini, skuad itu sedang meneliti barisan pemain baharu selepas lapan pemain musim ini memilih haluan bersama pasukan lain.

“Kami harap pemain yang bakal mengisi kekosongan itu dapat membentuk kekuatan seperti yang dipersembahkan musim ini hingga layak ke separuh akhir.

“Bagaimanapun, pemilihan pemain hanya dilakukan secara tertutup dan percaya tawaran yang diberikan itu dapat dimanfaatkan pemain berkenaan.

“Tiada yang mustahil untuk mencapai sasaran itu kerana sejak dua musim lalu Shahzan Muda menunjukkan peningkatan apabila layak ke suku akhir pada 2016 dan separuh akhir (2017),” katanya.

Mengulas penjenamaan The Dolphin musim depan, beliau berkata, langkah itu mampu memberi motivasi terbaik kepada barisan pengurusan, kejurulatihan dan pemain untuk bermain dengan lebih baik.

Katanya, cabaran utama pasukan itu adalah membentuk keserasian dan memahami corak latihan yang diterapkan jurulatih Tajuddin Nor.

“Apa yang pasti Shahzan Muda akan kembali beraksi di Liga Perdana selepas kali terakhir bersaing dalam liga berkenaan pada 2010,” katanya.

Baru-baru ini, Kelab Sukan Bolasepak Shahzan Muda (Shahzan Muda) mengesahkan kekal beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim 2018.

Bagi menghadapi musim 2018, kelab dari Pahang itu melakukan penjenamaan semula pasukan dengan menukar nama rasmi kelab kepada Shahzan Muda Football Club menggantikan nama terdahulu iaitu Shahzan Muda Sport Club.

Disiarkan pada: December 9, 2017 @ 4:04pm
d