arena

'Tak guna lantik Ancelotti'

Oleh Azlan Muhammad Zain dan Mohd Fitrie Muhamad

SIKAP pemain senior yang beranggapan mereka lebih besar daripada pasukan menjadi ‘virus jahat’ buat bola sepak negara sehingga boleh merosakkan kualiti permainan seterusnya menjejaskan sesebuah pasukan.

Ia diakui sendiri Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim betapa bola sepak di negara ini tidak terkecuali daripada sikap negatif berkenaan.

“Semua pasukan berdepan perkara sama. Tidak kiralah berapa ramai pemain muda yang kita ada, apabila menyertai pasukan senior, sama ada bersama kelab ataupun negara, mereka akan dipengaruhi kumpulan ini (pemain senior).

“Tidak guna kita lantik Carlo Ancelotti sekali pun, tetapi kalau ada tujuh atau lapan pemain senior mogok, yang lain-lain juga ikut,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO FAM, hari ini.

Justeru, Tunku Ismail bertegas tugas untuk mengatasi permasalahan itu tidak hanya tertumpu kepada FAM sebaliknya harus dipikul bersama persatuan negeri ataupun kelab.

Tunku Ismail berkata, sikap itu harus segera diatasi dan sekiranya situasi itu sekadar dipandang remeh, ia berisiko merosakkan industri bola sepak di negara ini termasuk menjejaskan skuad kebangsaan.

“Pemain seperti ini sudah pun wujud dalam sistem. Ini juga tugas pasukan negeri dan kelab untuk kenalpasti dan kawal” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tunku Ismail menjelaskan apa yang berlaku sekarang adalah hasil acuan daripada sistem terdahulu.

“Ini masalah bola sepak kita. Kita ‘tidur’ sejak 10 tahun lalu ketika Thailand sudah pun memulakan langkah permulaan”.

Disiarkan pada: December 9, 2017 @ 5:57pm
d