arena

Ujian getir skuad futsal Milo Malaysia

Oleh Devinder Singh

Pattaya, Thailand: Skuad Milo Malaysia berdepan cabaran getir untuk melengkapkan hatrik gelaran Kejuaraan Futsal Bawah 16 Milo Hidup Bola di Pattaya hari ini.

Juara bertahan dua kali itu akan dicabar kelab futsal dari Chonburi, Nonthaburi dan Pattaya Thai-Tech dalam kejohanan empat penjuru yang kini masuk edisi ketiga.

Ketua jurulatih futsal negara, Chiew Chun Yong yang memilih 12 pemain terbaik daripada grand final Milo Hidup Bola bulan lalu bagi membentuk skuad Milo Malaysia, menjangkakan cabaran lebih sengit daripada kelab Thailand tahun ini.

“Saya pasti mereka tidak mahu kami memenangi kejohanan ini buat kali ketiga berturut-turut dan mereka begitu fokus tahun ini,” kata Chun Yong.

“Kelab Thailand sudah berlatih sejak dua tiga bulan lalu dan mereka bersungguh-sungguh mahu merampas kejuaraan daripada kami.”

Chun Yong sebaliknya hanya sempat bersama pemain Milo Malaysia dalam dua sesi latihan di Kuala Lumpur sebelum tiba di Pattaya Rabu lalu untuk sesi latihan bersama kelab Thailand.

“Disebabkan tempoh terhad yang saya ada bersama pemain, saya tidak dapat melakukan latihan taktikal bersama mereka, jadi kita lihat bagaimana mereka menanganinya ketika kejohanan nanti.

“Paling penting mereka belajar dan melihat bagaimana pemain Thailand bermain futsal dengan cara yang sepatutnya,” katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2017 @ 4:19am
d