arena

'Harap Ridzwan tampil bersemuka'

Oleh Rodly Fadly

“Kalau seorang tuntut RM200,000, tujuh orang RM1.4 juta. Mana dia nak ‘cekau’ duit sebanyak itu?”

Itulah soalan yang dilontar oleh Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Kedah (KEPDA), Nor Asmadi Hamzah ekoran hasrat enam pemain Kedah mahu menyaman pemilik akaun Facebook, Muhammad Ridzwan ekoran dakwaan rasuah yang dilemparkan ke atas mereka dan jurulatih, Nidzam Adzha Yusoff.

Justeru, KEPDA menasihati Ridzwan supaya tampil bersemuka serta memohon maaf secara terbuka kepada Nidzam dan enam pemainnya dalam usaha mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Asmadi berpendapat, ia adalah jalan terbaik dan terakhir yang boleh dilakukan oleh Ridzwan selepas permohonan maaf secara terbuka yang dilakukan melalui video baru-baru ini ditolak oleh mereka.

Pada masa sama, Asmadi juga berharap Nidzam serta enam pemain berkenaan - Khairul Helmi Johari, Rizal Ghazali, Syazwan Zainon, Amirul Hisham Awang Kechik, Arif Farhan Md Isa dan Ifwat Akmal Chek Kassim dapat menerima permohonan maaf itu jika Ridzwan berani tampil bersemuka dengan mereka.

“Ridzwan bukan ahli KEPDA, malah saya secara peribadi tidak mengenali siapa dia. Tapi sebagai kelab penyokong, kami berharap isu ini tidak berpanjangan hingga ke mahkamah serta dapat diselesaikan dengan baik.

“Kami memahami perasaan Nidzam, Keon (Khairul Helmi) serta rakan-rakannya bila dituduh begitu. Ia memang satu tuduhan yang keterlaluan dan sangat melampau.

“Tapi, saya percaya individu yang menuduh mereka itu terlajak kata kerana didorong perasaan terlalu kecewa apabila Kedah kalah pada final Piala Malaysia. Saya yakin dia sudah sedar akan kesilapannya,” katanya.

Kelmarin, Khairul atau mesra dengan panggilan Keon menolak permohonan maaf daripada Ridzwan melalui video kerana dianggap tidak ikhlas selepas individu itu tidak mendedahkan identiti sebenar dengan menutup wajahnya.

Malah, Keon menegaskan dia akan meneruskan tindakan undang-undang ke atas Ridzwan serta akan menuntut sekurang-kurangnya RM200,000 sebagai ganti rugi.

Sebelum itu, Nidzam juga berkata dia akan terlebih dahulu merujuk kepada peguamnya sebelum mengambil sebarang tindakan susulan ekoran permohonan maaf Ridzwan.

Asmadi berpendapat, bagi membersihkan nama jurulatih dan keenam-enam pemain itu, Ridzwan perlu berani untuk tampil bersemuka serta memohon maaf kepada mereka.

“Saya cadangkan supaya Ridzwan mengambil inisiatif ‘menyerah diri’ ke pejabat KFA (Persatuan Bolasepak Kedah) serta meminta badan bola sepak itu mengatur satu sesi pertemuan dengan jurulatih dan enam pemain itu untuk dia membuat permohonan maaf secara terus dengan mereka.

“Di pihak Nidzam dan pemain pula, saya harap, jika Ridzwan sanggup berbuat begitu, mereka dapat memaafkan dia serta tidak memanjangkan kes itu.

“Saya juga berharap, isu ini akan menjadi pengajaran kepada penyokong lain supaya berhati-hati ketika membuat komen, jangan terlalu mengikut perasaan kerana padahnya besar,” kata Asmadi.

Disiarkan pada: December 10, 2017 @ 3:16pm
d