arena

Ridzwan berdepan saman RM2-3 juta

Oleh Izzali Ismail

PEMILIK akaun Facebook Muhammad Ridzwan, individu yang membuat tuduhan rasuah ke atas pemain bola sepak Kedah pada perlawanan akhir Piala Malaysia November lalu, berdepan saman antara RM2 juta hingga RM3 juta.

Menurut penasihat perundangan kepada Nidzam Adzha Yusoff, Datuk Iszam Kamal Ismail, jumlah saman sivil yang akan dibuat adalah berdasarkan populariti seseorang itu kerana ia membabitkan jurulatih dan pemain bola sepak terkenal tanah air serta mempunyai reputasi tinggi dalam masyarakat.

“Saman sivil ini bergantung pada populariti seseorang, jika makin popular makin mahal saman itu. Sebagai contoh jika dia popular di Alor Setar sahaja mungkin dalam 500 ribu. Kalau macam jurulatih Kedah ini, dia sudah popular satu Malaysia. Kalau dia bawa pasukan ke Piala AFC lagi tinggi.. anggaran antara dua ke tiga juta,” kata Iszam.

“Jumlah saman fitnah ini tinggi kerana tuduhan sebegini mampu menjejaskan mata pencarian orang yang dituduh dan jika berdasarkan umur mereka yang dituduh, kebanyakannya masih muda dan masa depan mereka bergantung dalam bidang bola sepak secara profesional.

“Ini belum termasuk berdepan kesalahan berkenaan fitnah yang boleh disabitkan di bawah seksyen 500 kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.”

Kes berkaitan isu tuduhan rasuah ini berlarutan ekoran tindakan suspek yang gagal tampil secara jelas dan bersemuka dengan anak guamnya untuk memohon maaf di atas fitnah yang dilemparkan di laman Facebook suspek.

“Permohonan maaf yang dilakukan dalam Youtube sambil menutup muka dan memakai kacamata hitam oleh individu yang merupakan suspek dalam kes ini tidak dapat diterima dan tidak ikhlas.”

“Sepatutnya jika suspek ikhlas mahu memohon maaf maka dia mempunyai pilihan samada boleh terus menghubungi pihak media dari situ akan diuruskan perjumpaan dengan dengan pihak anak guam saya atau berhubung terus dengan anak guam saya dan bukan memohon maaf melalui YouTube,” katanya.

Nidzam Adzha Yusoff serta enam pemain Kedah – Arif Farhan Isa, Rizal Ghazali, Amirul Hisyam Awang Kechik, Syazwan Zainon, Ifwat Akmal Che Kassim dan ketua pasukan Khairul Helmi Johari menjadi mangsa tuduhan rasuah yang dilemparkan oleh Ridzwan selepas Kedah tewas 2-0 kepada pasukan JDT pada perlawanan akhir itu.

Disiarkan pada: December 10, 2017 @ 4:06pm
d