arena

Persiapan tak terganggu

Oleh Sukhairi Thani

PERSIAPAN pasukan silat negara bagi menghadapi Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos depan sama sekali tidak terganggu meskipun negara tuan rumah itu membatalkan penganjuran Kejuaraan Dunia Pencak Silat yang sepatutnya berlangsung di Jakarta, Mac ini.

Malah, pembatalan itu secara tidak langsung bakal menambah ruang masa buat pesilat negara melakukan latihan lebih intensif bagi menuai pingat pada penyertaan sulung sukan silat di temasya terbesar Asia itu.

“Tak ganggu,” kata pengurus Besar Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Osman Nok (gambar) ketika ditanyakan mengenai pembatalan Kejuaraan Dunia itu. “Sekiranya ada kejuaraan dunia, mungkin persiapan akan sedikit terburu-buru.”

Pada Kejuaraan Dunia di Bali tahun lalu, Jakarta diumumkan sebagai venue untuk edisi seterusnya pada Mac namun terpaksa membatalkan penganjuran atas alasan persiapan menghadapi Sukan Asia.

“Mereka mahu memberi tumpuan kepada acara silat yang bakal diadakan pada 10 hingga 18 Februari ini dan juga fokus kepada Sukan Asia. Setakat ini, belum ada makluman mengenai tarikh untuk Kejuaraan Dunia seterusnya,” kata Osman.

Pada penyertaan di Bali, pasukan silat meraih tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa sekali gus mengulangi pencapaian di Phuket, Thailand pada edisi sebelum itu.

Sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia yang berbaki lapan bulan lagi, pasukan negara diwakili 16 pesilat dilaporkan bakal menjalani latihan ‘keras’ seperti ketika membantu kontinjen negara meraih 10 pingat emas dalam sukan tempur itu.

Antara medan pemanas badan terawal buat skuad negara adalah pada kejohanan pra Sukan Asia di Indonesia, Februari ini.

Disiarkan pada: December 10, 2017 @ 6:43pm
d