arena

Syarul idam hatrik

Oleh Azlan Muhammad Zain

GELARAN hatrik Mr Universe menjadi idaman atlet bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah (gambar) selepas dua tahun berturut-turut meraih gelaran itu.

Menurut juara dunia berusia 44 tahun itu, kejohananyang akan berlangsung setahun dari sekarang itu menawarkan peluang buatnya mengulangi kejayaan hatrik sebagai Mr Asia.

“Pada tahun ini, saya berjaya melengkapkan hatrik bagi gelaran Mr Asia, jadi saya mahu melengkapkan hatrik untuk Mr Universe pada tahun depan,” kata Syarul Azman.

“Saya masih mempunyai masa yang panjang untuk merangka persediaan terbaik kerana kejohanan akan berlangsung pada Disember tahun depan di Thailand.”

Namun pada masa sama, dia turut mahu memastikan gelaran Mr Asia yang akan berlangsung di Goa, India pada Ogos, menjadi miliknya buat kali keempat.

“Selepas dua kejohanan ini berlangsung dalam tempoh yang singkat, kalendar kejohanan kembali seperti biasa dengan atlet mempunyai tempoh lebih panjang dalam mempersiapkan diri,” katanya.

Mengimbau kembali prestasinya sepanjang tahun ini, Syarul Azman menjelaskan ia adalah sesuatu yang membanggakan kerana turut muncul pemenang dalam satu kejohanan antarabangsa di China.

“Saya sebenarnya beraksi dalam kesakitan di China kerana terjatuh motosikal beberapa hari sebelum terbang ke sana. Bagaimanapun saya akui gembira dengan pencapaian dilakar tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2017 @ 6:46pm
d