arena

Shahrukh ketepi pemain senior

Oleh Jumiati Rosly

TIADA siapa menyangka pemain boling Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Shahrukh Amin Zulkifli (gambar) berjaya mengetepikan pemain lebih berpengalaman untuk memenangi kejuaraan pada pusingan stepladder final The Masters pada Kejohanan Boling All-Stars Remaja Antabangsa MILO kali ke-18 di Sunway Megalanes di sini hari ini.

Berumur 17 tahun, pemain yang berasal dari Kuantan Pahang itu berjaya menundukkan pemain Korea Selatan, Jeong Tae Hwa yang berumur 50 tahun dengan keputusan 226-210 jatuhan pin dalam pusingan stepladder final itu.

“Saya pun tak sangka saya boleh menang, saya cuma menikmati permainan tadi. Mungkin tanpa adanya tekanan, saya rasa keyakinan semakin tinggi apabila sedang bermain,” katanya yang akan menyertai skuad pelapis kebangsaan pada Mac depan.

Prestasi mengagumkan Amin bermula dengan dia mendahului saingan The Masters pada catatan 2,321 jatuhan pin dalam 10 permainan, sekali gus meninggalkan pemain ternama lain antaranya pemain profesional Amerika Syarikat, Parker Bohn III serta pemain senior negara termasuklah Rafiq Ismail dan Esther Cheah.

Anak keenam daripada tujuh adik beradik dalam keluarga yang semuanya aktif dalam sukan boling itu berkata, dia baru saja menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan lalu dan menjalani latihan keras pada pagi dan malam untuk persediaan ke kejohanan itu.

“Saya harap kejayaan hari ini akan menjadi permulaan kepada lebih banyak kejayaan buat saya selepas ini. Kemenangan hari ini juga atas sokongan keluarga saya, jurulatih - Lamjah Khalil dan juga kawan-kawan yang turut beri sokongan padu,” katanya.

Kejayaan Amin membolehkan dia membawa pulang hadiah wang tunai RM35,000 berserta trofi.

Disiarkan pada: December 10, 2017 @ 6:58pm
d