arena

Qabil gusar mutu pengadilan

Oleh Aida Adilah Mat

SELEPAS kembali daripada persaraan pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) Ogos lalu, atlet ekuestrian negara, Qabil Ambak mahu terus melakar kejayaan seterusnya mengharumkan nama negara di Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos depan.

Cukup berpengalaman beraksi di pentas itu, atlet berusia 37 tahun itu bagaimanapun tetap gusar akan mutu pengadilan terutama jika membabitkan pengadil dari Korea Selatan.

Katanya, peluang atlet negara sering kali dinafikan pengadil dari negara berkenaan yang memberi mata rendah sekali gus menyebabkan emas terlepas dari genggaman.

“Ia bukan pertama kali. Saya mula mewakili negara sejak Sukan Asia 1998 di Bangkok. Kita sering kali diberi mata yang sedikit oleh pengadil dari Korea Selatan.

“Bantahan juga selalu dilakukan tapi tidak membawa apa-apa kesan. Jadi pada Sukan Asia kali ini saya harap penganjur akan menggunakan khidmat pengadil dari Eropah yang boleh memberi mata secara adil.

“Jika tiada pengadil dari Korea Selatan, InsyaAllah saya yakin kita mampu menyumbang emas,” katanya yang melihat acara dressage mempunyai peluang yang cerah menghadiahkan emas.

Pada temasya 2014 di Incheon, ekuestrian gagal menyumbangkan sebarang pingat.

Kali terakhir atlet ekuestrian meraih pingat adalah ketika temasya 2010 di Guangzhou dengan membawa pulang satu perak dan dua gangsa dalam acara dressage individu dan berpasukan.

Qabil berkata, dia akan kembali ke Jerman Februari depan untuk berlatih bersama kudanya, Qalisya - kuda sama digunakan ketika KL2017 sebagai persediaan ke Sukan Asia.

Untuk rekod, Qabil adalah antara atlet ekuestrian terbaik negara terutama di pentas Sukan SEA apabila meraih 11 pingat secara keseluruhan.

Disiarkan pada: December 11, 2017 @ 6:42pm
d