arena

Kim Swee sukar buat pilihan

Oleh Zulfaizan Mansor

JURULATIH skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui sukar memilih 26 pemain yang akan ke Mokpo, Korea Selatan untuk menjalani latihan pusat bermula Sabtu ini hingga 30 Disember.

Ia susulan semua pemain yang menyertai kem latihan pusat sejak 27 November lalu mempamerkan persaingan sengit dalam usaha merebut tempat dalam skuad berkenaan.

Kim Swee bagaimanapun berkata dia masih mempunyai tempoh tiga hari lagi sebelum mengumumkan senarai 26 pemain itu iaitu selepas aksi persahabatan berdepan Melaka, Khamis ini.

“Saya harap tempoh latihan (di Kuala Lumpur) tiga hari lagi kami mampu mencapai sasaran yang diinginkan termasuk dari aspek kecergasan dan sistem permainan.

“Semua pemain berusaha gigih dan ia menyukarkan saya membuat pilihan. Pemain B-19 juga dilihat cuba menunjukkan sesuatu untuk disenaraikan dalam skuad dan buat masa ini saya belum membuat sebarang keputusan.

“Saya perlu memilih 26 pemain untuk ke Korea Selatan. Selepas persiapan di sana, saya akan senaraikan 23 pemain untuk ke China (bagi mengharungi pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018),” katanya.

Selain menjalani latihan pusat di Mokpo, skuad Kim Swee dijadualkan akan mengharungi tiga aksi persahabatan antarabangsa iaitu pada 22, 25 dan 28 Disember.

Kemudian, skuad B-23 akan terus ke Nanjing, China untuk kem latihan pusat terakhir selama lapan hari dengan satu perlawanan persahabatan antarabangsa diatur pada 5 Januari iaitu bertemu satu pasukan daripada kumpulan lain yang turut akan beraksi pada Kejuaraan B-23 AFC 2018.

Skuad B-23 kebangsaan dijadual tiba di Changshu, China pada 6 Januari untuk menghadapi dua perlawanan awal Kumpulan C bertemu Iraq pada 10 Januari dan Jordan pada 13 Januari sebelum aksi terakhir berdepan Arab Saudi di Kunshan pada 16 Januari.

Selain itu, Kim Swee mengesahkan tonggak tengah, Daniel Ashraf Abdullah kini bergelut dengan masalah kecederaan belakang yang serius.

“Ia kecederaan lama yang dihadapi Daniel. Adam Nor Azlin pula mengalami sedikit kecederaan dan memerlukan beberapa hari untuk pulih manakala Matthew Davies akan kembali menjalani latihan bersama pasukan,” katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2017 @ 7:50pm
d