arena

Marcote kembali bimbing Hijau Kuning

Oleh Aizat Sharif

BEKAS penolong jurulatih kecergasan pasukan bola sepak Kedah musim 2015, Marcote secara rasmi kembali mengikat kontrak setahun bersama skuad Hijau Kuning sebagai jurulatih pasukan untuk musim Liga Super 2018.

Marcote atau nama penuhnya, Ramon Marcote Pequeno, 40, yang berasal dari La Coruna, Sepanyol dilantik sebagai jurulatih menggantikan pengendali pasukan itu sebelum ini, Muhammad Nidzam Adzha Yusof yang kembali memegang jawatan sebagai penolong jurulatih Kedah untuk musim akan datang.

Presiden Persatuan Bola Sepak negeri Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, perlantikan Marcote diputuskan selepas pihak pengurusan mempertimbangkan beberapa nama jurulatih untuk mengemudi skuad dengan jolokan 'Lang Merah' bagi musim 2018.

"Selepas diperhalusi dan dipersetujui oleh pengurusan tertinggi KFA, kita percaya dengan pengalaman dan kebolehan beliau untuk menerajui pasukan Kedah.

"Usaha pengambilan Marcote ini bukanlah mudah kerana beliau adalah seorang jurulatih berpengalaman dengan sebuah kelab terkemuka di Eropah yang terbabit secara langsung dengan sistem staf kejurulatihan kelab Atletico Madrid sejak 2002," katanya ketika menyampaikan ucapan semasa Majlis Menandatangani Kontrak ketua Jurulatih Skuad Liga Super Kedah 2018, Ramon Marcote Pequeno di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, Marcote adalah suatu nama yang tidak asing dalam arena bola sepak tanah air terutama pasukan Kedah dengan menjadi jurulatih kecergasan Kedah.

"Malah, beliau juga pernah diamanahkan untuk menggalas tugas sebagai pemangku jurulatih pasukan bagi empat perlawanan terakhir pasukan Kedah pada 2015.

“Hasil sentuhannya itu berjaya membawa pasukan Kedah layak ke pentas perlawanan akhir Piala Malaysia 2015 dan kesan yang ditinggalkan cukup mendalam dan mengujakan semua pihak ketika itu," katanya.

Ahmad Bashah berkata, dengan perlantikan Marcote sebagai jurulatih rasmi, peminat serta penyokong bola sepak negeri itu boleh menjangkakan beberapa lagi tenaga import yang baru akan diambil bermain untuk pasukan berkenaan.

"Kita sudah meneliti beberapa pemain import yang kita lihat mampu menjana kepada kejayaan pasukan untuk musim depan.

"Malah, dengan perlantikan Marcote, kita mengharapkan bahawa kejayaan double-treble yang diperoleh pada musim 2007 dan 2008," katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2017 @ 12:24pm
d