arena

Ramai atlet Russia mahu bertanding

Oleh AFP

MOSCOW: Kebanyakan atlet Russia mahu bersaing di Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang walaupun terdapat larangan terhadap pasukan negara berkenaan menyertainya kata Ketua Suruhanjaya Jawatankuasa Olimpik Russia (ROC), hari ini.

“Kami sudah bercakap kepada semua atlet dalam semua acara musim sejuk itu. Majoriti daripadanya mahu mengambil bahagian dalam sukan itu,” kata Sofiya Velikaya (gambar).

“Suruhanjaya menyokong pendirian tokoh sukan yang sudah membuat keputusan untuk membenarkan mereka beraksi dengan status neutral, tetapi pada masa sama menghormati pendirian sesiapa yang tidak mahu mengambil bahagian.

“Atlet sendiri sedar tidak ada bendera atau warna Russia, namun mereka sebenarnya mewakili Russia tidak kira apa yang terjadi,” katanya.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) minggu lalu membuat keputusan untuk mengharamkan penyertaan atlet Russia di Pyeongchang 2018 yang dijadual bermula pada 9 hingga 25 Februari kerana terpqlit dengan skandal menaja program doping.

Begitupun Presiden Russia, Vladimir Putin Oktober lalu berkata ia mungkin menjadi “penghinaan” buat atlet Russia yang bertanding di bawah bendera Olimpik.

Dia bagaimanapun merendahkan nada dengan mengatakan Russia tidak akan memboikot sukan itu dan tidak menghalang atlet yang bersaing menerusi tiket individu.

Disiarkan pada: December 12, 2017 @ 5:09pm
d