arena

Antonia teruja kembali beraksi

Oleh Syafiq Aznan

‘KERETA kebal’ Johor Darul Ta’zim (JDT), Marcos Antonio mengakui tidak sabar untuk kembali menjalani latihan bersama rakan sepasukan selepas proses pemulihan kecederaan lututnya berjalan lancar.

Menurut pertahanan tengah berusia 34 tahun itu, walaupun fisioterapi menjangkakan dia hanya boleh beraksi dalam tempoh dua bulan lagi, namun kemudahan terbaik yang dimiliki skuad Harimau Selatan itu menyaksikan dia boleh beraksi lebih awal.

“Saya bersedia untuk kembali kurang daripada dua bulan dan meskipun belum dalam keadaan yang pulih sepenuhnya, setidak-tidaknya saya dapat berlatih bersama rakan sepasukan.

“Sudah pasti persiapan musim baharu sedikit berbeza kerana saya baru sahaja pulih daripada kecederaan, jadi saya perlu bekerja lebih keras kerana saya mahu menjadi bertambah kuat untuk membantu pasukan ini,” katanya menerusi video pendek di laman rasmi JOHOR Southern Tigers, semalam.

Bekas pertahanan FC Nurnberg itu terlepas perlawanan sejak Julai lalu apabila terpaksa diketepikan susulan mengalami kecederaan ‘anterior cruciate ligament’ (ACL) dan menjalani pembedahan di Portugal, Ogos lalu.

Mengulas sasarannya musim hadapan, pertahanan kelahiran Brazil itu lebih memberi penekanan untuk pulih daripada kecederaan sepenuhnya terlebih dahulu sebelum membantu JDT meneruskan rentak cemerlang sekali gus terus mendominasi kancah bola sepak tempatan.

“Saya akan terus membantu JDT memenangi kejuaraan Liga Super dan apabila kami beraksi untuk pasukan ini, sudah tentunya kami mahu memenangi semua kejuaraan,” katanya.

Marcos antara pemain import paling menyerlah dalam Liga Super sejak beberapa tahun kebelakangan ini terutamanya selepas menjadi tonggak JDT mencipta sejarah merangkul trofi Liga Super buat empat tahun berturut-turut serta juara Piala AFC 2015.

Selain itu, Marcos turut memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia sepanjang empat musim bersama pasukan gergasi itu.

Disiarkan pada: December 12, 2017 @ 5:18pm
d