arena

Beri peluang kepada Cheng Hoe

Oleh Jumiati Rosly

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyambut baik pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai jurulatih baru skuad bola sepak kebangsaan menggantikan Nelo Vingada.

“Mungkin beliau sendiri (Vingada) rasa tak dapat penuhi potensi yang diharapkan.

“Kita beri peluang Cheng Hoe dulu,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan antara 100Plus dan Perbadanan Sukan Malaysia (PSM) di Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC) di Bukit Jalil, dekat sini hari ini.

Cheng Hoe yang juga bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan dan pengendali Kedah, diberi tugas menggantikan Vingada yang meletakkan jawatan pada minggu lalu.

Sementara itu, Khairy berkata Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia bagi temasya di Perak pada tahun depan memutuskan untuk mempertandingkan sebanyak 29 jenis sukan.

“Sebanyak 428 acara dicadangkan untuk dipertandingkan pada temasya 12 hingga 22 September itu dan saya meminta MSN untuk menguruskan cadangan itu.

“Beberapa jenis sukan tidak akan dipertandingkan dalam Sukan Malaysia, namun kejohanan peringkat remaja akan dianjurkan dalam tempoh sama ketika Sukan Malaysia itu,” katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2017 @ 8:19pm
d