arena

Ini langsung tak logik: Jaya

Oleh Aida Adilah Mat

SETIAUSAHA Agung Taekwondo Malaysia (TM), V Jaya Karthigaiyan menegaskan tindakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggugurkan sukan itu dalam senarai sukan teras Majlis Sukan Negara (MSN) tidak masuk akal.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat campur tangan luar yang cuba mengkhianati badan induk itu dengan mendesak serta melobi KBS supaya taekwondo dikeluarkan daripada senarai sukan teras.

Katanya, tindakan mengejut itu membimbangkan pihaknya, apatah lagi, apabila memikirkan hala tuju 35,000 ahli yang bernaung di bawah TM.

“Saya hairan mengapa taekwondo yang tersenarai dalam acara Olimpik digugurkan. Keputusan itu jelas tidak logik dan mencetuskan banyak persoalan.

“Lagipun, TM sentiasa berusaha memastikan kesemua atlet berada di tahap terbaik dan pencapaian meraih tiga pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu membuktikan kami sudah kembali ke landasan sebenar,” katanya hari ini.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan taekwondo antara tiga sukan teras yang digugurkan selain sepak takraw dan angkat berat.

Alasan pengguguran yang pertama kali dilakukan sejak 2007 itu disebabkan prestasi yang tidak memuaskan, masalah doping dan percakaran dalam persatuan.

Terdahulu, ketika temasya KL2017 taekwondo menyumbangkan tiga emas menerusi Chew Wei Yan (gambar) dan Yap Khim Wen dalam acara poomsae manakala Rozaimi Rozali mengungguli acara Kyorugi.

Malah atlet taekwondo, Elaine Teoh pernah beraksi di dua pentas Sukan Olimpik iaitu Athens (2004) dan Beijing (2008).

Disiarkan pada: December 13, 2017 @ 5:04pm
d