arena

Gattuso kemudi Milan ke suku akhir

Oleh AFP

MILAN: Jurulatih AC Milan, Gennaro Gattuso melakar kemenangan berturut-turut sekali gus mengemudi kelab itu ke suku akhir Piala Itali berdepan pencabar setempat Inter Milan selepas menang selesa 3-0 ke atas Verona pada pusingan 16 terakhir awal pagi tadi.

Gattuso mencatat kemenangan pertamanya selaku jurulatih Milan dalam Serie A ketika berdepan Bologna sebelum ini dan mengekalkan aksi mantap ketika berdepan Verona.

Jaringan Suso, Alessio Romagnoli dan Patrick Cutrone mempertemukan mereka dengan pendahulu Serie A, Inter pada 27 Disember ini yang memerlukan kemenangan menerusi penalti 5-4 untuk melepasi skuad Serie C Pordenone selepas terikat tanpa jaringan pada masa tambahan semalam.

Penjaga gol Gianluigi Donnarumma diejek penyokong Milan sebelum perlawanan yang turut memaparkan kain rentang dengan mesej penghinaan susulan dakwaan dia mahukan lanjutan kontraknya dibatalkan kerana berdepan tekanan, dengan khabar angin ejennya mempersiapkan perpindahannya ke Paris Saint-Germain dengan kontrak lumayan.

Giacomo Bonaventura terus mempamerkan aksi terpuji selepas meledak dua gol ke atas Bologna, menjadi watak penting untuk gol Suso pada minit ke-22 dan merancang gol Romagnoli selepas setengah jam serta tandukan Cutrone pada minit ke-56.

Bonaventura kemudiannya menerima tepukan gemuruh penyokong sebaik digantikan.

“Apa yang berubah dengan Gattuso? Beliau memberikan kami semangat dan keberanian. Selepas ini, pertemuan dengan pasukan tetangga,” kata Cutrone selepas Milan mencatat kemenangan pertama dalam lapan pertemuan terakhir Piala Itali berdepan Verona.

Terdahulu, penalti babak akhir oleh Jordan Veretout membawa Fiorentina ke peringkat seterusnya hasil kemenangan 3-2 ke atas Sampdoria untuk pertembungan dengan Lazio atau Cittadella pada 26 Disember ini.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 12:47pm
d