arena

Siapa pengurus baharu Kedah?

Oleh Rodly Fadly

DI SEBALIK keghairahan menyambut Ramon Marcote sebagai jurulatih baru, satu lagi topik yang kini hangat dibincangkan dalam kalangan penyokong Kedah siapakah yang bakal menjadi pengurus baharu pasukan itu musim depan.

Ia berikutan pengumuman Datuk Jeffrey Low mahu melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 2012 itu bagi memberi laluan kepada muka baharu untuk menguruskan skuad Helang Merah.

Beberapa nama menjadi sebutan sebagai pengganti dengan Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin dan Syed Johan Rizal Syed Unan dilaporkan antara calon pilihan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Shaiful adalah Ketua Pemuda UMNO Kedah merangkap Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sementara Syed Johan adalah Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO negeri itu.

Sumber memberitahu, pemilihan tokoh muda sebagai pengurus pasukan dilihat bersesuaian dengan aspirasi KFA yang mahu individu dinamik memimpin pasukan itu.

Ia dilihat secocok dengan Shaiful dan Syed Johan yang memang aktif menggerakkan pelbagai program dalam kalangan belia negeri itu.

Shaiful pernah mencetus kontroversi apabila mencadangkan supaya Bashah meletak jawatan sebagai Presiden KFA selepas Menteri Besar itu menerima ‘layanan buruk’ daripada penyokong sendiri pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 4 November lalu.

Pemuda UMNO Kedah di bawah kepimpinan beliau turut mencadangkan pemimpin parti itu yang mempunyai jawatan dalam KFA melepaskan jawatan bersama Bashah.

Bagaimanapun, ahli majlis eksekutif KFA pada mesyuarat 12 November lalu sebulat suara bersetuju mengekalkan Bashah sebagai presiden.

Dalam pada itu ada kalangan penyokong yang dilihat kurang selesa dengan cadangan untuk melantik orang politik sebagai pengurus baru skuad bola sepak Kedah sebaliknya menyarankan KFA melantik individu yang tidak terbabit dengan mana-mana parti politik.

Malah, Kelab Penyokong Bolasepak Kedah (KEPDA) mencadangkan KFA melantik Pengarah ECK Development Sdn Bhd, Puan Sri Ginney Chew selaku penaja utama sebagai pengurus bagi menggantikan Jeffrey.

Presiden KEPDA, Nor Asmadi Hamzah berkata, Ginney dilihat mempunyai minat mendalam terhadap pasukan Kedah apabila menggerakkan usaha untuk membawa Marcote kembali sebagai jurulatih Helang Merah.

“Sebagai Pengarah ECK yang berjaya memacu syarikat berdaya maju, kami melihat beliau mampu menjalankan tanggungjawab jika dilantik sebagai pengurus,” kata Asmadi.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 1:31pm
d