arena

City cipta rekod baru Liga Perdana Inggeris

Oleh AFP

LONDON: Manchester City kendalian Pep Guardiola mencatat rekod baru Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi menerusi kemenangan ke-15 berturut-turut hasil kemenangan 4-0 ke atas Swansea City.

Berikut adalah rentetan kemenangan terpanjang sejak liga utama England dijenamakan kembali sebagai Liga Perdana Inggeris pada 1992:

Empat pasukan melakar 11 kemenangan berturut-turut: Skuad Alex Ferguson bersama Manchester United dari Disember 2008 hingga Mac 2009, Chelsea dari April hingga September 2009 (di bawah Guus Hiddink dan kemudiannya Carlo Ancelotti), Liverpool di bawah Brendan Rodgers dari Februari hingga April 2014 dan Manchester City kendalian Manuel Pellegrini dari April hingga September 2015. Skuad Ferguson (United) dan Ancelotti (Chelsea) masing-masing muncul juara pada 2009 dan 2010, tetapi Liverpool terlepas peluang itu saat akhir pada 2014 apabila kesilapan Steven Gerrard menyebabkan mereka tewas kepada Chelsea. Rekod kemenangan City meneruskan rentak cemerlang apabila mereka menduduki tangga kedua dan keempat sebelum ini.

United mara ke garisan penamat pemburuan gelaran musim 1999-2000, menang 11 perlawanan terakhir mereka dan menamatkan kempen mereka dengan kelebihan 18 mata berbanding pencabar terdekat Arsenal. Mereka menjaringkan 37 gol sepanjang kempen itu termasuk kejayaan membelasah West Ham United 7-1 yang mana Paul Scholes meledak hatrik. Musim berikutnya dimulakan dengan kemenangan 2-0 ke atas Newcastle United dan sekali lagi meletakkan United di puncak liga.

Rentak kemenangan Chelsea pula bermula selepas tewas 0-3 kepada Arsenal pada September 2016, apabila pengurus baru Antonio Conte bertukar kepada formasi kegemarannya 3-4-3. Ia terbukti menjadi pemangkin kepada perubahan nasib Chelsea apabila berjaya menewaskan Tottenham Hotspur (2-1), Manchester United (4-0) dan Manchester City (1-3). Pencapaian itu bagaimanapun berakhir dengan kekalahan 0-2 kepada Tottenham Januari lalu namun Chelsea masih menamatkan kempen selaku juara.

Arsenal pula melakar rekod kemenangan terbanyak dalam satu musim Liga Perdana Inggeris (13) dan kemenangan terbanyak berturut-turut (14) dalam liga utama Inggeris bagi membolehkan mereka menjulang gelaran liga dan Piala FA buat kali kedua di bawah Arsene Wenger namun rekod itu kini lebur di tangan City. Arsenal yang berada di tangga keempat sejak Februari mara dengan 11 kemenangan sebelum menjulang gelaran dengan kemenangan 1-0 ke atas Manchester United. Mereka menamatkan musim dengan menewaskan Everton 4-3 di Highbury dan mempertahankan gelaran dengan kemenangan 2-0 ke atas Birmingham City sebelum seri 2-2 di West Ham United.

Pengurus City Guardiola pula berdepan musim sulung yang tidak menentu dalam liga Inggeris namun menebus kesilapan itu pada kempen keduanya dengan membawa kelab itu jauh ke puncak liga hasil gaya permainan menyerang terbaik pernah disaksikan bola sepak Inggeris. City hanya tercicir dua mata sejak awal musim, seri 1-1 dengan Everton pada perlawanan kedua dan meledak 52 gol dalam 17 perlawanan setakat ini. Sentuhan berbisa Kevin De Bruyne, David Silva, Raheem Sterling dan Sergio Aguero membantu City membelasah Stoke City 7-2, menang besar 6-0 di Watford, membenam Liverpool dan Crystal Palace 5-0 selain mencatat kemenangan hebat ke atas Chelsea, Arsenal dan Manchester United.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 2:16pm
d