arena

Tak boleh ada silap

Oleh AFP

LONDON: Arsene Wenger sedar Arsenal tidak boleh melakukan kesilapan sekali lagi apabila berdepan Newcastle di Stadium Emirates dengan misi menamatkan kemarau kemenangan tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Skuad Wenger terikat tanpa jaringan dengan West Ham awal pagi semalam dan berada di tangga ketujuh menjelang pertemuan dengan pasukan Rafael Benitez malam esok.

Hanya satu masa memisahkan Gunners dengan Tottenham Hotspur di tangga keempat, namun berdepan saingan sengit merebut tiket ke Liga Juara-Juara, Arsenal jelas tidak boleh kehilangan mata ketika menentang pasukan bawahan.

Mereka turut seri dengan Southampton sebelum ini dalam perlawanan yang kedua-duanya sepatutnya dimenangi Wenger dan ia mencetus tanggapan Arsenal masih belum bangkit selepas diaibkan Manchester United di laman sendiri.

Wenger merombak pasukannya bagi kunjungan ke West Ham dengan kedua-dua Jack Wilshere dan Olivier Giroud kali pertama diturunkan dalam kesebelasan utama.

Wilshere mengakui berpuas hati dengan prestasinya tetapi masih belum memulakan perbincangan dengan kelab itu berhubung lanjutan kontraknya yang tamat akhir musim ini.

“Belum ada ruang untuk perbincangan,” kata pemain tengah England itu.

“Pada masa ini, saya bermain dalam perlawanan pertama Liga Perdana. Saya memberi tumpuan untuk kekal cergas dan terus bersama pasukan dan apabila tiba masanya, saya pasti bos akan memanggil saya supaya dapat berbincang.

“Perlawanan berlangsung begitu pantas dan padat dan ia sesuatu yang bagus kerana kami kehilangan mata malam ini (Rabu) tapi kami berpeluang meraih tiga mata pada Sabtu.”

Newcastle berkunjung ke utara London dengan masalah yang semakin membebankan pengurus Benitez.

Skuad Tyneside itu kini hanya satu mata di atas zon penyingkiran selepas tewas tujuh daripada lapan perlawanan dan berisiko kembali ke Liga Kejuaraan.

Disiarkan pada: December 15, 2017 @ 3:47pm
d