arena

FAM bincang cadangan Tony

Oleh Syafiq Aznan

JAWATANKUASA Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi jaminan segala cadangan untuk menambah baik struktur Liga FAM akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa itu, minggu hadapan.

Timbalan pengerusinya, Mohd Firdaus Mohamed berkata, ini termasuk saranan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes (gambar) supaya format Liga FAM dikaji semula.

Katanya, badan induk bola sepak negara itu sememangnya senada dengan Tony apabila mereka turut mahukan penambahbaikan dalam struktur liga yang sedia ada.

“Sebenarnya, kita juga ada perancangan meningkatkan lagi taraf Liga FAM selaras dengan kehendak Presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahukan Liga FAM menjadi bertambah baik berbanding sekarang ini.

“Struktur Liga FAM yang sedang dilaksanakan sekarang adalah templat daripada pentadbiran terdahulu, jadi Tunku Ismail sudah memandang lebih jauh apabila beliau sememangnya mahukan penambahbaikan dalam liga divisyen tiga itu.

“Secara peribadinya, cadangan Tony satu cadangan yang baik dan kita akan perhalusi dalam mesyuarat minggu hadapan. Apapun, penambahbaikan sudah pasti akan dapat kita saksikan selepas ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Tony yang juga pemilik PJ Rangers menyarankan kepada FAM supaya dapat mengkaji semula format liga divisyen tiga itu bagi menjadikan ia lebih kompetitif sekali gus mampu menarik lebih ramai penonton ke stadium.

Pemilik kelab Liga Inggeris, Queens Park Rangers (QPR) itu berkata, format pertandingan sedia ada bukan saja kurang menarik, malah tidak relevan dalam sistem bola sepak moden sekarang.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan format Piala FAM perlu disusun semula bagi memudahkan peminat bola sepak tanah air memahami cara dan kepentingan sebenar penganjuran liga divisyen tiga itu.

Disiarkan pada: December 15, 2017 @ 4:44pm
d