arena

Morata sedia benam Southampton

Oleh Reuters

LONDON: Penyerang Chelsea Alvaro Morata sudah pulih daripada kecederaan belakang dan sedia untuk diturunkan bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Southampton, malam ini kata pengurus Antonio Conte.

Morata yang juga pemain kebangsaan Sepanyol sudah membuat 15 penampilan liga untuk Chelsea musim ini, menjaringkan sembilan gol tetapi terlepas aksi ketika The Blues meraih kemenangan 3-1 ke atas Huddersfield Town, Rabu lalu.

Tetapi dia sudah kembali menjalani latihan dan Conte menjangkakan penyerang utamanya itu akan bebas daripada kesakitan dan bersedia melawan Southampton yang kini menghuni tangga ke-11.

“Dia sudah berlatih bersama kami selama dua hari lalu dan juga hari ini,” kata Conte, semalam. “Dia merasai kesakitan di bahagian belakangnya tetapi dia antara calon untuk disenaraikan bagi perlawanan nanti.”

Morata beraksi dengan baik sejak perpindahan ke London dari Real Madrid dan dia dikatakan melihat video bekas penyerang Chelsea, Didier Drogba dalam usaha mendapatkan impak lebih besar.

“Saya fikir dia (Drogba) lebih berkuasa tetapi jangan lupa yang Alvaro mampunyai banyak ruang untuk penambahbaikkan. Dia secara fizikal amat kuat, dia juga pemain yang mempunyai teknik dan saya dapat melihat masa depan yang hebat untuknya.”

Conte berkata pertahanannya David Luiz menghadapi kecederaan lutut yang ‘serius’ dan menambah pemain berkenaan perlu dinilai setiap hari tanpa ada tarikh khusus bila dia boleh bermain.

Luiz digugurkan bagi aksi liga menentang Manchester United, West Bromwich Albion dan Liverpool sebelum mengalami kecederaan yang mengetepikannya bagi empat perlawanan terakhir bersama Chelsea.

Disiarkan pada: December 16, 2017 @ 1:30pm
d