arena

Chiow Chuan sah teraju skuad hoki Indonesia

Oleh Naqib Nor Said

SPEKULASI yang mengaitkan Lim Chiow Chuan akan ke negara jiran akhirnya terjawab semalam apabila Federasi Hoki Indonesia (FHI) mengesahkan sudah mendapatkan khidmat bekas penolong jurulatih skuad hoki lelaki negara itu.

Chiow Chuan dijangka bakal memulakan tugas pertama bersama pasukan lelaki kebangsaan Indonesia minggu ini dalam memilih 30 pemain terbaik menerusi Kejuaraan Hoki Outdoor 2017 Indonesia yang berakhir Selasa ini.

Ketua Prestasi Pusat Federasi Hockey Indonesia (FHI), Deny Fahruddin, ketika mengesahkannya berkata misi utama bagi Chiow Chuan adalah mempersiapkan pasukan tuan rumah untuk menghadapi Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang.

“Keputusan ini dibuat kerana kami percaya Malaysia adalah sebuah pasukan hoki terkuat di Asia selain faktor komunikasi bahasa yang lebih mudah.

“Kami mungkin terpaksa menyediakan penterjemah sekiranya mengambil jurulatih dari Korea Selatan dan Eropah kerana tidak semua pemain boleh berbahasa asing.

“Risikonya, tidak semua ilmu mampu diserap dengan baik oleh pemain,” kata Deny menerusi petikan akhbar Indonesia, ANTARA News.

Chiow Chuan yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Barcelona 1992 bagaimanapun dipercayai hanya akan memulakan tugas sepenuh masa sebaik berakhir Liga Hoki Malaysia 2018 pada awal Februari ini kerana sudah mengikat kontrak bersama KLHC.

Dalam pada itu, bukan hanya pasukan lelaki, malah Deny memberi bayangan betapa pihaknya juga berminat membawa pengendali dari Malaysia buat pasukan wanita kebangsaan Indonesia.

Sebaik ditanya, Deny bagaimanapun belum bersedia mendedahkan nama individu terbabit sebaliknya berkata: “Yang pasti, dia juga berasal dari Malaysia tetapi masih di tahap perbincangan.”

Disiarkan pada: December 16, 2017 @ 3:37pm
d