arena

Piala SuperMokh kejohanan terbaik

Oleh Ferzalfie Fauzi

SELEPAS memasuki edisi keempat, Piala SuperMokh layak dilabel kejohanan peringkat remaja terbaik di Asia Tenggara berikutan tidak ada negara lain yang mampu menjemput beberapa pasukan terbaik dunia seperti Paris Saint-Germain (PSG) dan Arsenal.

Ia diakui sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kerana edisi sebelum ini juga sentiasa mendapat perhatian akademi antarabangsa termasuk yang terbaru dari Aspire iaitu program pembangunan terbaik di Timur Tengah.

“Kejohanan ini akan diteruskan dan sentiasa menjadi penutup tirai kepada musim Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN). Saya yakin ini pelaburan terbaik walaupun sekarang ini ramai yang fokus kepada skuad Bawah 16 Tahun (B-16),” katanya.

Bercakap ketika hadir menyaksikan saingan separuh akhir Piala SuperMokh di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini, Khairy berkata kejohanan itu pentas terbaik untuk melihat tiga hingga empat generasi PPBN, termasuk skuad B-14 dan B-12.

“Melalui PPBN, kita dapat lihat program ini berjaya menghimpunkan 20,000 pemain. Kalau dulu kita hanya mempunyai satu generasi saja, Harimau Muda yang sekarang ini menganggotai skuad kebangsaan.

“Bagaimanapun, PPBN akan terus melahirkan generasi demi generasi untuk memastikan kita sentiasa melahirkan pelapis.

“Kita harus sentiasa cukup untuk mengetengahkan pemain bola sepak negeri dan kebangsaan. Harap sumbangan ini selari dengan transformasi yang sedang berlaku di dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Mereka banyak melakukan perubahan dan kita akan sentiasa menyediakan ramuan mentah,” kata Khairy.

Menurut Khairy, sebelum ini beliau meminta semua pihak perlu bersabar dalam tempoh lima hingga 10 tahun dan ia bukannya cakap kosong.

“Ini buktinya, ramai tidak nampak dan hanya memberikan kritikan keterlaluan, sebaliknya tidak melihat pembangunan yang kita buat.

“PPBN mempunyai masa depan cerah dengan adanya sistem seperti hari ini. Corak permainan juga saya lihat sangat berbeza di mana pemain tidak bermain hantaran jauh tanpa arah. Mereka mempunyai falsafah yang jelas, berani menyimpan bola, mencari ruang dan ia jauh berbeza berbanding zaman dulu,” katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2017 @ 7:07pm
d