arena

Nicol ikrar kembali rebut mahkota

Oleh Devinder Singh

RATU skuasy negara, Nicol David berikrar untuk kembali merebut mahkota Kejuaraan Dunia tahun depan selepas tersingkir pada saingan suku akhir di Manchester, semalam.

Nicol yang memburu kejuaraan kesembilan terpaksa akur dengan kehebatan pilihan kedua dari Mesir, Raneem El Weleily apabila tewas 8-11, 11-8, 6-11, 6-11 dalam perlawanan yang berlangsung 41 minit.

Kekalahan itu menyaksikan Nicol yang juga pemain nombor enam dunia tersingkir dalam saingan kelompok lapan terbaik buat kali ketiga berturut-turut sejak memenangi kejuaraan kelapan di Kaherah pada 2014.

“Ia perlawanan sukar dan sengit tetapi Raneem lebih baik,” kata Nicol, 34, dalam Twitternya. “Tahniah @RaneemElWelily.

“Kejohanan Dunia, jumpa lagi tahun depan! Terima kasih semua atas sorakan yang kuat.”

Kemenangan Raneem yang juga pemain ranking kedua dunia itu menyaksikan dia menewaskan Nicol buat kali kelima berturut-turut sekali gus memperbaiki rekod pertemuannya dengan bekas pemain nombor satu dunia itu dengan melakar kemenangan kelapan daripada 18 pertemuan.

“Saya sangat gembira kerana menewaskannya,” kata El Welily, yang tewas kepada Nicol lima set pada aksi final 2014 dan akan menentang pemain Perancis, Camille Serme di separuh akhir.

Disiarkan pada: December 16, 2017 @ 7:14pm
d