arena

Neymar kembali mengganas

Oleh AFP

PARIS: Neymar kembali melakar rentak cemerlang selepas terlepas dua perlawanan dengan meledak dua gol dan dua bantuan jaringan, apabila Paris Saint-Germain membelasah Rennes 4-1 dalam aksi La Liga awal pagi tadi.

Pemain termahal dunia itu terlepas aksi hujung minggu lalu ketika apabila kelab itu menewaskan Lille berikutan penggantungan dan tidak menyertai Piala Liga Perancis menentang Strasbourg Rabu lalu apabila pulang ke Brazil atas urusan keluarga.

Namun dia segera mencetus impak di Rennes dengan meledak gol pembukaan seawal minit keempat sebelum bergandingan dengan Kylian Mbappe untuk gol kedua PSG selepas minit ke-15.

Firmin Mubele merapatkan jurang selepas rehat namun Rennes terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Benjamin Andre dilayangkan kad kuning kedua dan Edinson Cavani meledak gol ketiga PSG pada minit ke-75.

Neymar pantas menokok gol keempat pasukan apabila menjaringkan gol keduanya pada hari itu manakala Wahbi Khazri mensia-siakan penalti saat akhir Rennes selepas bek tengah PSG Presnel Kimpembe dibuang padang.

“Apabila anda melihat pemain seperti Neymar, saya fikir semua peminiat yang berada di sini atau menonton televisyen pasti menyokong PSG tetapi jika mereka peminat bola sepak sejati, mereka pasti gembira melihat pemain seperti Neymar,” kata jurulatih PSG Unai Emery.

PSG sudah pun memastikan mereka melangkah ke cuti musim sejuk di puncak liga dan mendahului Monaco di tangga kedua dengan enam mata, namun kelab ibu negara Perancis itu mula mempamerkan tanda kelemahan bulan ini dengan kekalahan kepada Strasbourg dan Bayern Munich.

Bagaimanapun mereka berjaya menewaskan Strasbourg 4-2 dalam aksi Piala Liga pada Rabu tanpa Neymar dan Mbappe, kedua-duanya kembali menyertai kesebelasan utama di Roazhon Park oleh Emery.

Gandingan berkenaan mencetus impak segera apabila Mbappe saling bertukar hantaran dengan Marco Verratti sebelum melorongkan bola kepada Neymar untuk rembatan padu.

Gandingan sama turut menghasilkan gol kedua PSG pada minit ke-17 apabila Neymar melakukan hantaran rendah yang berjaya disempurnakan Mbappe.

Disiarkan pada: December 17, 2017 @ 1:11pm
d