arena

Mourinho tekad 'kejar' Guardiola

Oleh AFP

WEST BROMWICH: Jose Mourinho menegaskan Manchester United tidak akan berputus asa memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menyaksikan skuad kendaliannya kembali merapatkan jurang kepada 11 mata dengan pendahulu, Manchester City, awal pagi tadi.

United meraih kemenangan 2-1 di West Bromwich Albion, semalam dengan gol disumbangkan Romelu Lukaku dan Jesse Lingard sebelum Gareth Barry menyumbat gol sagu hati buat tuan rumah.

Keputusan itu membuatkan Mourinho bertekad United akan terus berjuang sehingga penghujung musim meskipun memiliki jurang cukup besar dengan seteru tetangganya City bagi pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Saya tahu soalan yang sama sentiasa akan ditanya di mana saja dan saya tetap berkata perkara yang sama,” kata Mourinho.

“Perlawanan terakhir kami dalam Liga Perdana Inggeris adalah menentang Watford di Old Trafford pada pertengahan Mei nanti dan sehingga itu setiap perlawanan yang kami harungi, kami mahu cuba untuk menang.

“Jika orang bertanyakan soalan itu kepada kami dan kemudian kamu lakukannya kepada pasukan di tangga ketiga, dan keempat dan kelima dan keenam, mungkin mereka akan hilang.

“Mungkin mereka mahu pergi bercuti. Tetapi kami tidak mahu pergi bercuti. Kami mahu bermain sehingga perlawanan terakhir.”

Mourinho juga enggan mengulas mengenai rakaman video yang muncul di media sosial sebelum kemenangan United di Hawthorns yang menunjukkan pemain-pemain City meraikan kemenangan ke atas Tottenham, Sabtu lalu apabila dikatakan mengejek corak permainan berhati-hati United dengan mengeluarkan kata-kata “parkir bas.”

“Saya tidak nampak, saya tidak menontonnya,” kata Mourinho. “Saya tidak berminat untuk melakukannya. Kamu sendiri boleh menilai, komen kamu. Bagi saya, tiada apa-apa.”

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 11:32am
d