arena

Mustahil kejar City tapi empat teratas mungkin

Oleh AFP

BOURNEMOUTH: Jurgen Klopp mengakui kedudukan Manchester City di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) hampir mustahil untuk digugat dengan bos Liverpool itu sudah berpuas hati jika skuad kendaliannya menamatkan saingan di tangga empat teratas.

Gol daripada Philippe Coutinho, Mohamed Salah, Dejan Lovren dan Roberto Firmino menyaksikan The Reds meratah Bournemouth 4-0 sekali gus kembali menghuni tangga keempat liga.

Mereka begitupun ketinggalan 18 mata di belakang pendahulu, City tetapi Klopp gembira dengan prestasi semasa pasukannya ketika beliau memburu tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

“Bolehkah City dikejar? Saya tidak tahu. Saya tidak memiliki bola kristal. Tetapi jika mereka bergelut, seperti mungkin tiada sesiapapun yang mempunyai kualiti seperti mereka pernah bergelut sebelum ini, jadi seseorang perlu berada di sana untuk memanfaatkannya,” kata Klopp.

“Saya tidak dapat melihatnya tetapi jika saya berhenti bekerja keras pada ketika saya tidak mampu berada di Liga Juara-Juara, saya tidak akan berada di sini.

“Kami mempunyai banyak sebab untuk bermain. Ia amat sukar, liga ini amat tegang dan adalah sesuatu yang menakjubkan betapa banyak jumlah mata yang kamu perlukan pada penghujung musim untuk mendapat sesuatu.

“Banyak pasukan berada di kedudukan yang baik, tetapi City memenangi kesemua perlawanan mereka.”

Kemenangan Liverpool ke atas Bournemouth adalah yang keempat berturut-turut sekali gus meninggalkan skuad bimbingannya hanya empat mata dibezakan dengan pasukan tangga ketiga, Chelsea.

Mereka kini mengumpul 34 mata daripada 18 perlawanan dan menyasarkan untuk meraih 76 mata seperti yang diperoleh musim lalu dengan menamatkan saingan di tangga keempat.

Sekali pun pemain Mesir, Salah berada di prestasi terbaik sejak tiba dari Roma, Klopp begitupun enggan memuji pemainnya secara individu.

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 3:09pm
d