arena

Corbin-Ong sudah tiba

Oleh Zulfaizan Mansor

PEMAIN kacukan, La’ Vere Corbin-Ong akhirnya tiba di bumi Johor, hari ini bagi menyertai Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Kehadiran pemain pertahanan berdarah campuran Malaysia-Barbados itu disahkan JDT menerusi kenyataan berserta gambar Corbin-Ong di Facebook rasmi kelab berkenaan, JOHOR Southern Tigers (JST), hari ini.

“Kami mengucapkan selamat datang kepada La’ Vere Corbin-Ong. Luaskan Kuasamu Johor,” kata kelab itu.

Corbin-Ong yang berusia 26 tahun beraksi dengan kelab Liga Divisyen Dua Belanda, Go Ahead Eagles sebelum berhijrah ke JDT yang juga juara Liga Super dan Piala Malaysia.

Dalam perkembangan sama, skuad JDT akan kembali menjalani latihan di pusat latihan Padang Seri Gelam, Johor Bahru bermula hari ini.

“Selepas berehat panjang, fokus pemain akan tertumpu terhadap persediaan untuk musim 2018 dengan cabaran pasukan lain pastinya lebih hebat berbanding musim sebelum ini.

“Teruskan sokongan anda buat pasukan agar kecemerlangan mereka berterusan dan semakin meningkat untuk musim baharu,” kata kelab itu dalam satu lagi kenyataan di JST.

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 6:40pm
d