arena

PSM mula mesyuarat

Oleh Haika Khazi

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) akan mengadakan mesyuarat tergempar Sabtu ini bagi membincangkan tindakan Majlis Sukan Negara (MSN) mengeluarkan sukan tradisi berkenaan daripada program sukan teras, sekali gus menyebab acara itu tidak dipertandingkan di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018.

Presiden Datuk Seri Ahmad Ismail ketika dihubungi mengesahkan mesyuarat tergempar itu bakal diadakan di Ibu Pejabat PSM, Setapak, pada 23 Disember ini dan berharap ia akan dihadiri semua ahli majlis, presiden atau timbalan presiden negeri dari seluruh negara.

Beliau berkata antara agenda utama mesyuarat tergempar berkenaan adalah untuk membincangkan mengenai tindakan bakal diambil PSM sekiranya rayuan untuk memasukkan semula sepak takraw sebagai sukan teras ditolak MSN.

“Kita juga akan memilih tarikh sesuai untuk wakil PSM mengadakan pertemuan rasmi dengan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi membincangkan isu dan rayuan untuk memasukan semula sepak takraw ke dalam program sukan teras.

“Langkah berkenaan penting bagi menujukkan PSM serius menangai isu berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Ahmad juga mengesahkan mesyuarat berkenaan tidak akan membincangkan mengenai desakan sesetengah ahli gabungannya supaya PSM mempercepatkan proses pemilihan pucuk pimpinan tertinggi baharunya berikutan pelbagai isu melanda sukan sepak takraw negara, sejak kebelakangan ini.

Minggu lalu, media melaporkan, Khairy mengumumkan sukan angkat berat, sepak takraw dan taekwondo digugurkan daripada 19 jenis sukan teras di bawah program MSN bermula SUKMA Perak 2018.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN yang dipengerusikan Khairy, berdasarkan persembahan prestasi merosot, isu doping selain kemelut kepimpinan dalam persatuan.

Akibatnya, peruntukan untuk ketiga-tiga sukan itu akan ditarik dengan mereka perlu lebih berdikari dalam menguruskan persatuan. Bagaimanapun, Khairy menegaskan pengguguran tiga sukan itu bukannya satu bentuk hukuman.

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 6:52pm
d