arena

Pjanic wira Juve

Oleh AFP

Milan: Juventus mendaki ke tangga kedua Serie A susulan kemenangan selesa 3-0 ke atas Bologna, awal pagi semalam ketika krisis AC Milan makin tenat apabila tumbang kepada kelab bawahan, Hellas Verona.

Juventus yang dikendalikan Massimiliano Allegri ketika ini mengutip 41 mata, dibezakan dengan satu mata di belakang pendahulu Napoli dan memintas Inter Milan yang mengalami kekalahan pertama musim ini 3-1 kepada Udinese, kelmarin.

Miralem Pjanic mengetuai kemenangan Juve apabila membuka tirai jaringan menerusi gol cantik pada minit ke-27 daripada sepakan percuma.

Pemain tengah Bosnia itu kemudian membuat umpanan menarik yang menyumbang gol kedua selepas hantarannya dimanfaat sepenuhnya Mario Mandzukic untuk sekali lagi penjaga gol Bologna, Antonio Mirante tertewas.

Blaise Matuidi mengesahkan tiga mata buat penyandang juara Itali itu apabila meledak gol pada minit ke-64 yang juga gol pertamanya dalam kempen Serie A musim ini.

“Saya merasa hebat, saya meningkat dan pasukan mendapat tiga mata yang kami perlukan dan saya gembira,” kata Pjanic.

“Selepas ini, kami perlu bersedia bagi perlawanan menentang Roma. Mereka pasukan yang amat kuat dan akan mencabar kejuaraan Scudetto.”

Sementara itu, krisis yang melanda satu lagi gergasi Itali, Milan kian parah apabila tewas 0-3 kepada Verona yang juga kekalahan kelapan kelab itu musim ini.

Milan yang dibarisi pemain-pemain ‘mahal’ gagal untuk menggegar pentas Serie A dan ketika ini menghuni tangga ketujuh liga selepas hanya mengumpul 24 mata.

Mereka ketinggalan 18 mata di belakang Napoli dan dibezakan 14 mata daripada kedudukan empat terbaik yang juga tiket terakhir ke saingan Liga Juara-Juara.

Gol Verona dijaringkan Antonio Caracciolo menerusi tandukan serta dua penyudah menarik Moise Kean dan Daniel Bessa.

“Tiada sebarang alasan, kami memalukan diri kami,” kata pengurus Milan, Gennaro Gattuso sejurus kekalahan.

“Dalam 25 minit pertama, kami mencipta begitu banyak peluang tetapi mereka membuat kami terpaksa membayarnya apabila menyempurnakan peluang pertama mereka.”

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 9:16am
d