arena

KLHC 'berentap' tanpa Harun Al Rashid

Oleh Haika Khazi

Kuala Lumpur: Ketiadaan jurulatih Harun Al Rashid Samri tidak akan menjejaskan peluang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) untuk mempertahankan gelaran juara Liga Hoki Malaysia (MHL) selain meraih gelaran juara sulung Piala Tan Sri P Alagendra, musim depan.

Pengurus KLHC, Ahmad Anuar Sham Kamar berkata pihaknya terpaksa melupakan hasrat menggunakan khidmat Harun Al Rashid kerana beliau mempunyai komitmen lain yang memaksanya tidak meneruskan tugas selaku ketua jurulatih.

Berikutan itu, Anuar berkata pihaknya kini melantik bekas penolong jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Lim Chiow Chuan bagi membimbing pemain untuk mengharungi MHL 2018 dan merampas Piala Tan Sri P Alagendra.

Selain itu, Anuar meramalkan persaingan merebut kejuaraan MHL 2018 akan menjadi semakin sengit dengan kehadiran ramai pemain import ternama dari seluruh dunia.

Bagaimanapun, Anuar berkata beliau tetap yakin KLHC mampu melakarkan sejarah tersendiri dengan menang lebih banyak kejuaraan bermula dengan Piala Tan Sri P Alagendra yang dijadualkan 3 hingga 7 Januari depan.

“Sebelum ini, nasib kami kurang baik kerana tewas kepada THT (Pasukan Hoki Terengganu) di separuh akhir tahun lalu namun sekarang saya nampak undian lebih berpihak kepada kami. Insya-Allah kami akan mulakan dengan muncul juara Piala Tan Sri P Alagendra buat kali pertama,” katanya.

Dalam pada itu, pemain KLHC, Mohamad Shukri Abdul Mutalib pula menegaskan beliau dan rakan sepasukan kini bersiap sedia untuk mengharungi MHL dan merampas gelaran juara Piala Tan Sri P Alagendra, daripada pasukan musuh tradisi THT.

“Saya tidak kisah jika diundi bertemu mana-mana pasukan termasuk THT sama ada di pusingan awal atau final. Apa yang penting kami akan bermain bersungguh seperti biasa kerana ia cabaran yang perlu ditempohi setiap pemain.

“Sebagai pemain, saya dan rakan sepasukan akan bermain bermati-matian untuk memastikan kami muncul juara,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 9:34am
d