arena

Import masih rahsia

Oleh Devinder Singhn

Kuala Lumpur: Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic masih berahsia mengenai tiga pemain import yang bakal ditandatangani untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan.

Ia termasuk mengenai laporan skuad The Bos Gaurus itu berminat mendapatkan khidmat pemain sayap dari Indonesia, Terens Puhiri .

Terens yang juga pemain Borneo FC berusia 21 tahun adalah pemain Indonesia terbaru yang dikhabarkan bakal berhijrah ke Liga Super selepas Selangor mengikat Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn.

Terens mendapat perhatian dunia selepas videonya yang melakukan larian pantas luar biasa sebelum meledak gol untuk kelabnya ketika menentang Mitra Kukar dalam perlawanan Liga Indonesia pada 23 Oktober lalu, tersebar di media sosial.

Presiden Borneo FC, Nabil Husein Said Amin, baru-baru ini mendedahkan kelab itu menerima banyak pertanyaan daripada pasukan luar mengenai Terens, termasuk dari Perak.

Durakovic bagaimanapun enggan mengulas mengenai minat Perak terhadap Terens untuk mengisi kuota import Asia Tenggara pasukan itu.

“Perak dikaitkan dengan banyak pemain dan saya terkejut dari mana laporan ini timbul,” kata Durakovic, semalam.

“Sejujurnya, kami masih mempunyai masa untuk menyempurnakan pembentukan skuad. Saya tidak dapat mendedahkan apa-apa nama lagi kerana pemain ini masih mempunyai kontrak bersama kelab mereka.

“Jadi, tidak adil buat pemain, kelab mereka atau kami untuk mendedahkan apa-apa.”

Bekas penyerang Queens Park Rangers (QPR), Bruno Perone dan pemain tengah dari Korea Selatan Moon Chang-jin turut dikaitkan bakal menjadi pemain import Perak untuk musim depan.

Selain itu, Durakovic mengesahkan Perak sedang berunding dengan pemain pertahanan Shahrom Kalam selepas kontraknya tamat bulan lalu.

“Kami masih berunding dengan Shahrom dan akan melihat bagaimana perkembangannya,” kata Durakovic.

“Kepentingan utama saya adalah mencari pemain muda daripada pasukan junior kami untuk diserap ke skuad senior.”

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 9:49am
d