arena

Emery harap Silva kembali cergas

Oleh AFP

PARIS: Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery berharap kapten pasukan, Thiago Silva akan kembali pulih daripada kecederaan menjelang aksi penutup tahun menentang Caen di laman sendiri, sebelum liga Perancis berehat sempena musim sejuk.

Pemain antarabangsa Brazil itu tidak beraksi sejak perlawanan Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich dua minggu lalu, tetapi kini sudah menjalani latihan penuh dan bakal beraksi di posisi bek tengah menggantikan Presnel Kimpembe yang digantung.

“Saya yakin dan berharap, begitu juga dengan Thiago Silva dan doktor....semuanya akan menjadi ‘okay’ untuk beraksi,” kata Emery.

Ketika ini, PSG dilihat begitu gah mahu mengekalkan rekod tanpa kalah di Parc des Princes, di bawah kendalian jurulatih kelahiran Sepanyol berkenaan.

Caen pula gagal meraih sebarang kemenangan dalam empat kunjungan terakhir ke PSG dan setakat ini cuma menjaringkan 11 gol - sedangkan PSG dan Montpellier memiliki rekod pertahanan yang cukup mantap dalam liga Itali.

Neymar kembali memperkuatkan pasukan selepas terlepas aksi menentang Lille dan Strasbourg, - apabila meledak dua jaringan serta dua bantuan gol ketika PSG merakam kemenangan 4-1 ke atas Rennes, Sabtu lalu.

Namun, mereka bakal beraksi tanpa kelibat Marco Verratti dan Dani Alves yang digantung satu perlawanan.

Selepas pertembungan Rabu ini, pendahulu Ligue 1 itu mempunyai tempoh 18 hari lagi sehinggalah perlawanan seterusnya, menentang Rennes dalam aksi peringkat 64, Piala Perancis yang dijadualkan pada 7 Januari.

PSG dilihat mampu mengimbangi kekuatan selepas ketibaan Neymar dan Kylian Mbappe pada Ogos lalu, kerana pada Januari ini, ia akan menjadi bulan yang cukup sibuk buat kelab apabila terbabit dalam pasaran perpindahan pemain.

Emery dikatakan sudah pun berbincang dengan Lucas Moura dan Hatem Ben Arfa mengenai kemungkinan mereka akan dijual.

Manakala pasangan Argentina, Javier Pastore dan Angel Di Maria pula berterusan dikatakan dengan penghijrahan keluar dari Paris.

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 10:56am
d