arena

De Bruyne hampiri kontrak baru

Oleh Reuters

LONDON: Manchester City kian hampir untuk menandatangani perjanjian baharu jangka panjang dengan pemain tengah Belgium, Kevin De Bruyne, lapor media British.

Pemain berusia 26 tahun itu menandatangani perjanjian selama enam tahun ketika menyertai City dari Vfl Wolfsburg dengan rekod perpindahan kelab, 55 juta pound (RM299.63 juta) pada 2015, tetapi kontrak baharu itu dijangka mengekalkannya di Etihad sehingga 2024.

Akhbar The Independent melaporkan De Bruyne dijangka menggandakan jumlah gaji yang diperolehnya ketika ini dan menerima kira-kira 200,000 pound (RM1.08 juta) seminggu dengan beberapa siri bonus.

Pemilik City mahu memberi penghargaan terhadap persembahan menakjubkan De Bruyne pada musim ini selepas kelab itu mencatatkan rekod 16 kemenangan berturut-turut liga.

“Saya tidak rasa untuk pergi ke tempat lain dan gembira menjadi sebahagian daripada projek di sini dan bermain dengan cara kami beraksi ketika ini,” kata De Bruyne.

City yang ketika ini memiliki kelebihan 11 mata di puncak liga akan membuat kunjungan ke Leicester City bagi aksi pusingan kelima Piala Liga, awal pagi nanti dan bertemu kelab Switzerland, Basel di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara pada Februari.

“Pasukan bergerak ke arah yang betul dan ia juga penting. Saya membuat keputusan yang tepat untuk datang ke City dan keluarga saya juga merasakan perkara yang sama, jadi ia bagus.”

Bekas pemain Chelsea itu yang membantu Belgium layak ke Piala Dunia tahun depan di Russia sudah menjaringkan enam gol dalam aksi liga musim ini, selain lapan umpanan gol.

The Independent turut berkata, City dijangka bersetuju dengan kontrak baharu pemain berusia 32 dari Brazil, Fernandinho di mana kontraknya akan berakhir pada penghujung musim ini selain menyediakan perjanjian baharu untuk Gabriel Jesus.

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 12:45pm
d